Nelayan di Sekinchan, pembekal ikan terbesar di Selangor semakin berang.
Sebut saja nama Jamal Md Yunos sudah cukup membuatkan kebanyakan nelayan Cina di situ menyampah, mengecam atau sekadar diam saja, malas hendak bercakap mengenainya.
“Harga diesel, kos selenggara bot memancing kami, baiki jala ikan dan jeti kayu, gaji pekerja semua sudah naik sejak beberapa tahun ini.
“Bagaimana kami hendak hidup jika harga ikan masih sama?
“Kita lihat sajalah kalau Jamal boleh kekal jual ikan harga RM5 sekilogram setiap hari,” kata seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Su, ketika ditemui di Bagan Sekinchan.
Jamal, ketua Umno Bahagian Sungai Besar menjual ikan kembung pada harga RM5 sekilogram di Sekinchan dan Ampang bulan lalu dalam usahanya membuktikan orang tengah tidak bertanggungjawab, disokong oleh DAP, yang menaikkan harga ikan.
Suami Su mempunyai dua bot memancing – satu dikendalikan pekerja Burma dan satu lagi oleh pekerja Indonesia.
Su membantu perniagaan suaminya itu sejak tiga dekad lalu.
“Kami tidak tetapkan harga ikan,” katanya.
Chia Tiang Engi, seorang pemborong dan nelayan dengan tujuh bot berkata menangkap ikan adalah perniagaan yang mahal dan berisiko tinggi.
Katanya, beli bot ikan saja boleh mencecah RM1 juta atau lebih kosnya.
Kebanyakan nelayan di sini yang mewarisi perniagaan daripada keluarga mereka, terpaksa mengambil pinjaman untuk membeli bot.
Sebuah bot boleh bertahan sehingga 30 tahun dengan penyelenggaraan yang baik.
“Kos diesel bagi satu trip menangkap ikan kosnya beberapa ribu ringgit. Kami kena pastikan dapat tangkapan yang mencukupi untuk dapat untung,” katanya.
Chia berkata bagi menjimatkan kos kebanyakan bot ikan akan berada di laut sekurang-kurangnya tiga hari, ada yang lapan hari.
“Tambahan lagi, kami terpaksa bergantung pada keadaan cuaca dan laut. Angin monsun semakin sukar diramal sejak sedekad lalu.
“Hasil tangkapan kami juga menurun sejak beberapa tahun ini. Setiap ringgit yang kami dapat, ia hasil jerih usaha kami,” katanya.
Chia berkata dia membayar gaji pekerjanya yang kebanyakannya dari Myanmar, sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.
Katanya, jaring dan jala ikan yang perlu diganti setiap enam hingga 12 bulan, kosnya antara RM10,000 and RM20,000.
Sementara itu, Adun Sekinchan Ng Suee Lim juga menolak tuduhan Jamal yang DAP memanipulasi nelayan dan orang tengah untuk menaikkan harga ikan, dan berkata ia tuduhan tidak berasas dan bermotifkan politik.
“Kos terpaksa ditanggung nelayan tempatan meningkat dengan banyaknya kerana banyak subsidi ditarik balik dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6%. Gaji pekerja juga sudah naik.
“Itu sebabnya harga ikan turut naik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lim berkata Jamal jual ikan RM5 sekilogram hanya gimik dan lebih baik jika beliau pergi melobi Putrajaya supaya mengembalikan subsidi kepada nelayan dan mansuhkan GST jika benar ikhlas mahu menurunkan harga ikan.
Jamal semalam dipetik sebagai berkata beliau akan menjual ikan di Petaling Jaya esok pada masa sama dengan himpunan anti kleptorasi anjuran Pakatan Harapan.
Katanya, sebanyak 10 tan ikan akan dibawanya dari Sungai Besar dan Perak – dalam tiga lori.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohd Azizi Mohd Zain bagaimanapun memberi amaran kepada Jamal beliau perlu mendapatkan permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya jika mahu meneruskan rancangannya menjual ikan di situ.
Azizi berkata pegawai penguat kuasa akan mengambil tindakan jika Jamal berdegil menjual ikan tanpa permit. – TMI