Teka-teki tarikh pilihan raya umum (PRU) 14 yang semakin menghampiri detik penghujung penggal pentadbiran PM Najib Razak adalah tidak baik buat negara, kata ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.
Katanya, jika Najib mahukan kemenangan buat BN maka PRU wajar dipanggil pada tahun 2017. Hal ini kerana, menurut beliau ekonomi Malaysia akan semakin lemah pada tahun hadapan, sesuai dengan ramalan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbukan 2018 tidak lebih 5%.
“Semakin lama pilihan raya umum ditunda, semakin sukar untuk BN menang kerana ekonomi negara lemah.
“Justeru itu, saya berpandangan walaupun PRU14 nampaknya akan diadakan pada tahun hadapan, saya tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan lewat tahun ini disebabkan oleh situasi ekonomi dan harga barang yang tidak dapat dikawal lagi.
“Ini bererti pembangkang patut bersiap-sedia setiap masa,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas himpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ yang dianjurkan pada 14 Oktober lalu, Dr Hatta menganggap kehadiran rakyat berbilang kaum dalam acara itu memberi isyarat jelas bahawa gelombang penolakan terhadap Najib amat kuat. Katanya, rakyat akan mengundi parti mana yang menentang rasuah dan memiskinkan hidup mereka, berbanding isu-isu kemajuan dan keagamaan yang dimainkan oleh BN dan Pas.
“Himpunan itu menunjukkan rakyat bersatu menentang kleptokrasi dan bukannya satu bangsa sahaja yang menentang. Ini adalah amalan politik yang sihat untuk masa depan negara.
“Dengan itu, saya berpendapat PM Najib akan berasa agak gentar melihat rakyat bersatu menyokong Pakatan Harapan (PH),” kata Pengarah Pilihanraya Parti Amanah Negara itu lagi.
Katanya, hanya persempadanan semula kawasan pilihan raya 2016 yang boleh menyelamatkan Najib. Namun persempadanan itu masih belum diluluskan parlimen kerana menghadapi saman kerajaan negeri Selangor.
“Persempadanan semula akan memberi sedikit kelebihan kepada BN tetapi saya harap kalau sokongan terhadap PH sama rata di antara semua kaum dan golongan masyarakat maka kita mempunyai peluang untuk menang pilihan raya umum.
“Selain dari itu, isu kos sara hidup yang telah melambung naik dan masih terus meningkat akan mendorong rakyat menyokong PH. Oleh itu, kita dapat lihat sekarang PM Najib sukar mendapat tarikh yang baik untuk membubarkan Parlimen,” katanya.