Seorang peguam PKR mengecam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini didakwa menjadikan prosedur tangkap dan reman sebagai tindakan rutin, menambah penahanan Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dibuat tanpa asas.
N. Surendran berkata bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu tidak berisiko untuk melarikan diri atau pun mengganggu saksi lain dalam siasatan yang masih berjalan dalam kes penyelewengan dana kementerian itu di Sabah.
“Mengikut undang-undang tangkapan dan reman bagi membantu siasatan harus dikecualikan, bukannya dijadikan kebiasaan.
“Kedudukan undang-undang itu diguna pakai untuk semua siasatan jenayah dalam apa juga jenis kesalahan, dengan pengecualian kepada suspek yang ada potensi melarikan diri atau dipercayai suspek akan mengganggu saksi.
“Dalam kata lain, beban undang-undang terletak kepada pihak berkuasa yang menangkap untuk menunjukkan kenapa mereka tidak boleh menyiasat tanpa menangkap dan reman,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, SPRM ada hak dan tugas untuk menjalankan siasatan tetapi tangkapan dan reman sepatutnya hanya digunakan dalam keadaan sangat terhad dan benar-benar perlu.
“Dalam melanggar prinsip asas undang-undang ini, SPRM nampaknya mengambil tindakan tangkapan secara automatik dan reman.
“Tangkapan seperti ini sudah menjadi rutin, dilakukan untuk mendapat perhatian di televisyen dan keluar berita,” kata ahli Parlimen Padang Serai itu.
Surendran berkata Shafie hadir ke pejabat SPRM secara sukarela dan berulang kali menyatakan akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa.
“Oleh itu, apa asas undang-undang untuk penahanannya?
“Idea berlebihan yang menekankan agensi penguat kuasa perlu menahan orang bagi menjalankan siasatan, itu salah,” katanya, menambah hak kebebasan individu dilindungi oleh Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.
Surendran juga meminta SPRM membebaskan Shafie dan yang lain kerana pembebasan mereka tidak akan menjejaskan siasatan SPRM kerana mereka sentiasa ada jika perlu dipanggil untuk soal siasat. – TMI