Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Shafie Apdal yang ketika itu naib presiden Umno memainkan peranan penting dalam kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas Kedah daripada PAS.
Kalau bukan kerana penstrukturan semula Umno yang dilakukannya sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah selama dua tahun setengah sebelum pilihan raya umum yang lalu, negeri itu mungkin sehingga kini masih diperintah oleh PAS.
Dan kini, para penyokongnya percaya ahli Parlimen Semporna itu akan mengulangi kejayaannya untuk Sabah melalui Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpinnya sekarang, walaupun beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.
“Memang ada tanda-tanda SPRM menghala kepadanya. Penangkapan Shafie hanya akan menjadikan kami lebih bersemangat untuk berjuang demi keadilan,” kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking kepada The Malaysian Insight, malam tadi.
Menurut Leiking episod ini tidak akan melemahkan Warisan dan parti itu tetap menganggap beliau sebagai presiden yang sah sehingga Warisan mencapai matlamatnya menumbangkan Barisan Nasional di Sabah.
Mereka percaya kemahirannya dalam mengatur strategi, kefahamannya tentang suku etnik di Sabah dan kemampuannya menguruskan kepelbagaian kaum itu akan jadi resipi kejayaan Warisan dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut Leiking, Shafie boleh menjadi seorang pemimpin yang menyatukan rakyat Sabah.
Seorang lagi pemimpin Warisan, Junz Wong berkata sekiranya Shafie boleh membantu BN dan Umno menawan Kedah, untuk Sabah tentulah lebih mudah lagi.
“Dia malah lebih memahami Sabah dengan lebih baik dari segi geografi, demografi dan jiwa rakyatnya… semuanya dia tahu.
“Inilah alasan kenapa rakyat Sabah harus memberikan sokongan kepadanya dan Warisan menuju PRU14,” tambah naib presiden Warisan itu.
BN yang diterajui oleh Umno buat pertama kalinya kehilangan Kedah pada PRU12, bersama dua negeri lain iaitu Perak dan Selangor, tambah tiga negeri yang dipimpin oleh pembangkang selepas Kelantan sejak pilihan raya umum 1990.
Pada pilihan raya umum lalu, BN merampas semula Kedah dan mengekalkan Perak yang telah melalui peralihan kepimpinan melalui mahkamah pada 2010.
Kejayaan memenangi Kedah itu antara lain adalah dengan strategi yang diatur oleh Shafie selepas mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi Umno pada 2009 untuk membetulkan keadaan Umno di negeri itu.
Pergolakan Umno di Kedah adalah antara punca kenapa BN terlepas negeri itu kepada PAS pada PRU12, kata penganalisis.
Semasa menerajui Umno Kedah dalam tempoh yang singkat itu, Shafie antara lain menstruktur semula kepimpinan Umno negeri, memperkenalkan bakal-bakal calon yang lebih muda termasuk memajukan Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar dan seterusnya menyatukan Umno negeri yang berpecah.
Wong, yang meninggalkan DAP dan menyertai Warisan, mengaku tidak mengenali Shafie sebelum itu dan hanya mula mengenalinya selepas Shafie keluar daripada Umno dan membentuk Warisan, yang semalam menyambut ulang tahunnya yang pertama.
“Selepas bekerja bersama-sama dengannya dalam tempoh setahun ini, saya betul-betul kagum. Saya tahu dia boleh memenangi Sabah (pada PRU14),” katanya.
Sementara itu, Leiking berkata beliau tidak pernah melihat peluang terbaik untuk menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira etnik dan agama, dengan kepimpinan yang ada pada Shafie.
“Kita tidak lagi akan melihat diri kita berdasarkan geografi dan demografi. Kita tidak boleh nafikan bahawa ada dinding yang memisahkan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau merujuk pada pecahan tiga wilayah di Sabah iaitu pantai timur, pantai barat dan pedalaman, yang turut ditandai sebagai kawasan tumpuan etnik tertentu yang menganut agama berbeza.
Wilayah pantai timur didiami oleh majoriti penduduk berketurunan dari Filipina seperti Suluk dan Iranun, serta Bajau, yang turut mendiami kawasan pantai barat.
Wilayah pedalaman rata-rata didiami oleh orang Kadazan-Dusun dan Murut (KDM) yang boleh dipecahkan pula kepada sehingga 40 suku etnik kecil termasuk Murut, Orang Sungai, Rungus dan banyak lagi. KDM juga merupakan majoriti di kawasan pinggir bandar menganjur sehingga ke pedalaman.
Etnik Cina pula rata-rata berada di kawasan bandar seperti di Kota Kinabalu dan Sandakan.
Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 60 buah kerusi dengan 35 daripadanya terletak di kawasan majoriti pengundi Muslim, 18 kerusi di kawasan majoriti Kadazandusun, empat kawasan majoriti pengundi Cina dan tiga kerusi campuran.
Persempadanan semula yang sedang dirancang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, sekiranya diluluskan, bakal menambah 13 kerusi baru, semuanya di kawasan majoriti Muslim.
Warisan adalah parti yang dijenamakan semula daripada Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan pada 2013 oleh seorang sahabat karib Leiking.
Selepas Shafie keluar Umno pada Julai 2016, Leiking mencadangkan mereka bekerjasama untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam PRU14.
Penukaran nama, pendaftaran dan logo parti baru itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan genap setahun yang lalu minggu ini.
Shafie mengetuai Warisan dan Leiking jadi timbalannya.
Di kalangan penyokong Warisan, mereka percaya sekiranya parti berumur baru setahun itu bertanding di semua kerusi negeri, ia boleh menang sekurang-kurangnya 48 daripada 60 kerusi.
Menurut Leiking, parti komponen BN masih meneruskan kempen menyerang beliau dan Shafie dengan menggunakan isu-isu agama dan kaum.
Katanya, pilihan raya akan datang ini tidak boleh ditentukan dengan isu seperti itu kerana ia hanya akan memecahbelahkan rakyat Sabah yang pelbagai.
“Apabila saya berkerja berganding tangan dengan Shafie, kami meruntuhkan tembok itu. Kita tidak boleh menyelamatkan Sabah sebagai orang Islam atau Kristian,” katanya.
“Kita hanya boleh menyelamatkan Sabah sebagai orang Sabah.” – TMI