Ahli parlimen Shah Alam Ir Khalid Samad meramal pilihan raya umum (PRU) 14 mungkin dipanggil selewat-lewatnya hujung tahun ini memandangkan harga minyak dunia akan meningkat ketara pada 2018.
Katanya, tidak mungkin PM Najib mengajurkan PRU pada ketika harga RON 95 meningkat RM2.50 seliter. Tentunya tarikh paling baik adalah selepas pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan hujung Oktober ini.
“Kini nampaknya situasi kewangan negara sudah teruk. Kos sara hidup sudah meningkat keterlaluan dan harga minyak pula tinggi di pasaran tempatan
“Walaupun PRU14 diramal oleh penganalisis politik akan diadakan pada tahun hadapan, saya tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan sebelum hujung tahun ini kerana harga minyak di pasaran dunia akan mengalami kenaikan pada tahun depan. Kalau harga minyak di pasaran tempatan mencecah RM2.50 seliter maka rakyat akan amat marah dengan Kerajaan BN
“Sudah pasti BN akan kalah pilihan raya umum. Justeru, sekarang Kerajaan BN sedang cuba sedaya-upaya untuk mengumpul duit dari kenaikan harga minyak untuk mengadakan PRU14 tahun ini,” kata Khalid kepada Suara pakatan daily.
Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu, di mana-mana negara di dunia, pilihan raya umum akan diadakan semasa ekonomi sedang berkembang pesat atau sewaktu ekonomi stabil, kukuh dan rakyat tidak dibebani oleh kos sara hidup tetapi di Malaysia pada hari ini, rakyat sedang terhimpit dan oleh sebab itu pilihan raya umum sukar diadakan.
“Kos sara hidup yang semakin melambung naik adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah dan tempang.
“Kerajaan BN nampaknya masih gagal untuk membetulkan situasi dan inilah dilema mereka hari ini sementara hidup rakyat terutamanya golongan miskin semakin sukar hari demi hari. Hutang seisi rumah yang tinggi juga satu masalah besar negara. Bank-bank juga tidak mahu memberi pinjaman dengan mudah.
“Pada pendapat saya, PRU14 patut diadakan tahun ini kerana situasi sudah amat memudaratkan rakyat. Kalau PRU14 diadakan pada Mac depan, entah bagaimana ekonomi negara pada masa itu,” tambah Khalid.