Laluan ke Putrajaya ditempa oleh undi penduduk luar bandar dan Pakatan Harapan (PH) perlu bertindak di luar kotak sekiranya ia mahu memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.
Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata yang pakatan pembangkang perlu menambah 25 kerusi Persekutuan kepada 88 kerusi sekarang sekiranya ia mahu menundukkan Barisan Nasional (BN).
“Cabarannya adalah untuk buat apa yang kita tak pernah buat. Kita perlu guna pendekatan bijak dengan menang 25 (tambahan) kerusi dengan menarik 100,000 pengundi.
“Memandangkan pertempuran ini berlaku di Semenanjung, kita perlu sekurang-kurangnya 100 daripada 165 kerusi Parlimen. Kita perlu (letak sasaran) maksimum untuk dapat sekurang-kurangnya 90 atau lebih kerusi sebelum wujudnya kesan berterusan,” katanya pada forum “3-cornered fights: a win for Pakatan” di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, pembangkang juga boleh meraih manfaat daripada situasi semasa di Sabah apabila Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apadal sedang ditahan dalam siasatan penyelewengan dana awam RM1.5 bilion.
“Kita tak perlu menang 112 kerusi di sini, tetapi hakikatnya kita perlu mulakan titik mula. Apa sahaja di atas 90 dan dan kita akan dapat (pujuk) Sabah dan Sarawak sertai kita.
Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming pula berkata PH boleh menang dalam pertandingan tiga penjuru hanya sekiranya mereka boleh menyakinkan pengundi yang pilihan raya ini adalah soal BN lawan PH.
“Kita perlu beritahu pengundi yang jika mereka mahu kekalkan status quo, mereka undi BN tetapi jika mereka mahu ubah status quo, hanya ada satu pilihan sahaja, iaitu Pakatan Harapan,” katanya menambah yang salah untuk menggunakan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebagai rujukan kemungkinan berulangnya situasi sama pada pilihan raya umum akan datang.
“Kerana ketika itu tiada siapa yang mengundi untuk kerajaan negeri baru di Selangor atau Perak.
“Jadi rakyat hanya undi calon untuk kerusi tertentu sahaja. Tiada apa yang dipertaruhkan,” kata ahli Parlimen Serdang itu.
Katanya lagi, pembangkang perlu memberikan dasar alternatif yang jelas kepada rakyat.
“Kita ada sejarah yang baik dalam aspek dasar, kita muncul dengan dasar yang baik di bawah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Ia bukan hanya soal menghapuskan korupsi tetapi juga bagaimana kita mahu menangani masalah ekonomi,” katanya.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula mengatakan cabaran PH adalah untuk menjelaskan kepada pengundi bagaimana mereka menjadi mangsa dan ditindas dan mengapa perubahan kerajaan perlu.
“Mereka perlu tahu mengapa mereka ditindas kerana rakyat kadang kala tidak boleh faham hubungan dasar kerajaan sekarang dengan masalah mereka.
“Kita perlu utamakan naratif ini untuk menangi hati rakyat. Mereka tak peduli masalah anda kerana mereka sendiri ada masalah dan mereka harap kita beri penyelesaian,” katanya. – TMI