Gesaan bekas Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar kepada penyokong dan ahli Pas bahawa ‘tidak perlu keluar parti untuk sokong Pakatan Harapan’ memeningkan pimpinan Pas menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menurut seorang veteran Pas, pendapat atau ‘fatwa’ Mahfuz itu bukan sahaja mempengaruhi ahli dan penyokong Pas di Kedah malah di seluruh negara memandangkan pengaruh tokoh veteran itu yang selama puluhan tahun berjuang dan membina identiti cemerlang dalam Pas.
“Sekurang-kurangnya kenyataan tegas Mahfuz selepas balik menunaikan fardu haji baru-baru ini ‘tak perlu keluar Pas untuk sokong PH’ menyebabkan Pas kembali menyasarkan 40 kerusi parlimen untuk dimenangi daripada 222 kerusi parlimen,” kata veteran Pas itu dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Pas sebelum ini menambah kerusi untuk dimenangi daripada 40 kepada 80 dan bersedia membentuk kerajaan persekutuan secara sendirian tanpa bersekutu dengan Pakatan Harapan.
Namun keadaan semakin buruk apabila Mahfuz bersama dua pimpinan Pas Kedah menghadiri konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) di Stargate, Kedah baru-baru ini. Kunjungan itu menunjukkan bukan Mahfuz sahaja yang menentang usaha Pas untuk melawan PH.
Tentangan itu tentunya akan membuka ruang perpecahan kali kedua dalam Pas selepas pemimpin-pemimpin yang digelar pro Anwar keluar parti menubuhkan Amanah pada 2015 lalu.
“Pas berpecah lagi bila ahli-ahlinya sependapat dengan Mahfuz. Insha Allah dalam PRU 14 nanti berderu-deru ahli Pas akan pangkah PH selepas Mahfuz menggalakkan mereka berbuat demikian
“Secara jujur kekuatan Pas hari ini hanya berbaki di Terengganu sahaja malah di Kelantan juga keadaan telah berubah,” kata veteran Pas tersebut kepada Suara pakatan daily.
Beliau menganggarkan secara kasarnya hanya 50% ahli Pas yang masih beristiqamah dengan perjuangan parti itu. Selebihnya adalah kelompok harum manis yang akan mengundi PH.
“Fatwa Mahfuz sangat melegakan ahli-ahli Pas yang sedang menanti sesuatu yang segar dan baru
“Jika sebelum Mahfuz berkata demikian Pas masih ada 80% ahli istiqamah tetapi kini Pas sebenarnya hanya tinggal 50% ahli sahaja,” katanya.