Seorang pemimpin DAP hari ini mempersoalkan sama ada PAS akan turut membentangkan belanjawannya sendiri bagi memperlihatkan dasar kewangannya, selepas Pakatan Harapan (PH) semalam membentangkan “bajet alternatif” 2 hari sebelum Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak.
“Bukanlah kita mahu merendah-rendahkan kemampuan dan sumber PAS untuk merangka belanjawan negara,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
“Tetapi PAS pastinya berhadapan banyak persoalan sekiranya parti pembangkang yang mesra-Najib ini tidak mampu mengemukakan belanjawannya sendiri menjelang esok sebelum Perdana Menteri membentangkan belanjawan Barisan Nasional di Parlimen.”
Semalam, PH dalam belanjawannya antara lain mencadangkan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya. Ia juga berhasrat mengembalikan subsidi petrol untuk kegunaan kenderaan berkuasa rendah, di samping mengekalkan bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan beberapa perubahan kecil.
PH merupakan gabungan 4 parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM. PAS yang enggan bersama gabungan itu berkata ia mahu bergerak sendiri di bawah apa yang dinamakannya Gagasan Sejahtera.
Tahun lalu ketika Najib membentangkan Bajet 2017, kesemua wakil rakyat pembangkang kecuali dari PAS bertindak keluar dewan sambil mengangkat sepanduk “Siapa MO1?”. MO1, atau “Malaysian Official 1”, adalah gelaran diberikan dokumen siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap pegawai tertinggi yang bertanggungjawab ke atas 1MDB.
Ramai pemimpin pembangkang percaya MO1 merujuk Najib, bagaimanapun ia tidak disahkan secara rasmi.
Sementara itu, Lim bertanya sama ada PAS akan menyokong bajet dibentangkan Najib esok.
“Adakah PAS akan menjadi pembonceng belanjawan Najib Razak pada esok hari memandangkan kini ramai pimpinan utama PAS begitu rapat dengan perdana menteri?
“Atau adakah fungsi PAS di Parlimen hanya untuk membawa usul RUU 355 Abdul Hadi Awang semata-mata dan tidak peduli langsung tentang hal-hal lain?” katanya merujuk rang undang-undang dibawa presiden PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. – FMT