Cara Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengendalikan hubungan perniagaan dengan negara China sekarang terdedah kepada situasi berbahaya kepada negara pada masa depan.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata tindakan Najib membuat pinjaman mega untuk projek-projek berisiko tinggi akan membawa negara ini hilang kedaulatan.
“Kita mesti faham situasi politik antarabangsa dan kedudukan China dalam percaturan ekonomi dunia.
“China yang mempunyai penduduk hampir 2 billion sedang muncul sebagai gergasi ekonomi dunia dan kita perlu berhati-hati berurusan dengannya,” katanya ketika berucap di majlis santai Dun Semerak di Tok Bali malam tadi.
Menarik pelaburan asing dari ekonomi berkapasiti tinggi katanya memang langkah bijak tetapi China bukan pilihan selamat.
“Tuan-tuan perlu tahu apa yang kini terjadi kepada beberapa projek yang diserah kepada negara China di Johor sekarang.
“Kita rakyat Malaysia kena ada pasport untuk ke Singapura.
“Sedangkan mereka boleh terus ke Singapura tanpa pasport dan siap dengan keretapi khas pula,” katanya.
Menurutnya cadangan projek keretapi laju dari Pengkalan Kubur ke Gombak yang kini telah memulakan proses pembinaan lebih menggerunkan.
“Mereka kata kos pembinaan projek ini ialah RM55 billlion.
“Saya ada bersembang dengan pakar yang memberi amaran kos ini boleh melonjak hingga RM70 billion,” katanya.
Kemasukan pelaburan China katanya membawa dimensi baru pelaburan asing.
“Selama ini pelaburan langsung dari luar (FDI) adalah pelaburan modal dalam bentuk kewangan.
“Bagi pelaburan dari China, ia berbeza kerana pakej mereka akan bersekali dengan tenaga kerja dan semua bahan asas yang diperlukan dalam sesuatu projek.
“Ini menjadikan peniaga tempatan dan pasaran buruh domestik tidak ada sebarang peluang untuk menyertai proses pembangunan,” katanya.
Situasi ini katanya akan menjadikan masa depan rakyat Malaysia semakin terpinggir di bumi sendiri.
“Kalau ini terjadi, orang Melayulah mangsa yang paling malang.
“Negara kelihatan membangun dengan bangunan-bangunan tinggi mencakar langit tetapi orang Melayu semakin miskin dan terhina dan terpinggir di bumi sendiri,” katanya.
Pergantungan negara kepada modal China akan memberi impak negatif yang lebih dahsyat.
“Sekarangpun kita sudah tidak kedengaran lagi tuntutan-tuntutan Malaysia terhadap wilayah-wilayah yang dikatakan bertindih seperti Pulau Spratly.
“Jika keadaan berterusan, kita terpaksa jadi ‘pok angguk’ kepada apa saja kehendak negara China dalam percaturan politik dan keselamatan antarabangsa,” katanya.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan di majlis itu ialah Pengarah Bersatu Dun Semerak Kapten (B) Wan Marzudi Datuk Wan Omar, ketua penerangan PPBM Kelantan Zulkifli Zakaria dan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Muhammad Hussin. – MD