Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan perkembangan terbaharu mengenai usul kerajaan BN menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi memperbaiki sistem pilihanraya Malaysia adalah helah untuk melengahkan waktu.
Hal itu ditegaskan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, petang tadi. Kata Anwar, SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan beberapa tuntutan Bersih dan tidak perlu mengunggu syor dari jawatankuasa khas tersebut.
“Tuntutan Bersih sebahagiannya boleh dilaksanakan oleh SPR dengan kuasa yang ada. Mengapa perlu merekatunggu jawatankuasa khas memberikan syor. Adakah ini (taktik) untuk melengahkan reformasi pilihanraya?
“Mengikut perlembagaan persekutuan SPR tidak ada halangan sama sekali untuk melaksanakan tuntutan Bersih. Soalnya, kenapa dengan kuasa yang ada mereka tidak boleh lakukan pembaikan sistem pilihanraya,” katanya.
Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan PR, kata Anwar, berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing dalam jumlah begitu banyak. Isu itu tidak langsung dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri sehingga hari ini.
“KDN perlu jelaskan mengapa mereka memberi kewarganegaraan segera kepada pendatang asing sehingga ratusan ribu jumlahnya. Belum ada jawapan yang jelas mengenai isu ini. KDN juga belum memberi apa-apa maklum balas.
“Cadangan Majlis Pakatan Rakyat ialah mensyorkan kerajaan membentuk satu suruhajaya diraja bagi menyiasat segera perkara ini,” katanya.
Penasihat DAP Lim Kit Siang mengulangi tentang tidak perlunya menunggu dapatan jawatankuasa khas parlimen sebelum mereformasikan sistem pilihanraya kerana beberapa isu amat mudah untuk diselesaikan dan hanya diperingkat SPR bukannya memerlukan pindaan undang-undang.

Pemimpin PR menyoal dolak-dalih Najib dan SPR
“Tuntutan Bersih mudah serta boleh dilaksanakan segera. Tidak perlu ambil pandangan jawatankuasa khas. Isu pengundi hantu, pendatang asing, daftar pemilih diragui; SPR tidak perlu tunggu sehingga 6 bulan untuk mendengar syor jawatankuasa untuk memperbaiki situasi ini.
“Syor jawatankuasa itu pula kelak boleh dipersetujui oleh SPR atau tidak. Adakah ini semata-mata untuk melengahkan masa?” tanyanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PAS Hj Muhammad Sabu juga berpendapat sedemikian. Sekurang-kurangnya empat dari lapan tuntutan Bersih boleh diuruskan oleh SPR sendirian tanpa campurtangan atau syor dari sesiapa.
“SPR ada kuasa untuk melaksanakan dengan mudah empat tuntutan Bersih; celup dakwat, tempoh berkempen, pembersihan daftar pemilih dari pendatang asing. Mereka boleh lakukan semua ini jika mahu,” bidasnya.
Menjawab soalan wartawan adakah PR telah membuat keputusan sama ada menyertai atau tidak jawatankuasa khas, Anwar menekan supaya kerajaan membuktikan terlebih dahulu niat baik mereka. Menurutnya sehingga kini kerajaan hanya menunjukkan keangkuhan dalam menghadapi tuntutan rakyat. Jawatankuasa PR akan bersidang lagi