Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini mengumumkan pemberian bonus 3 bulan kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri itu, di mana bonus 1 bulan akan diberikan pada Disember dan bonus 2 bulan sudah diberikan Jun lepas.
Azmin berkata cadangan tambahan bantuan khas kewangan itu bagi membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak tahun depan.
Ketiga-tiga bayaran itu memberi implikasi kewangan sebanyak RM94.65 juta. “Sayugia diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan dibayar tahun ini.”
“Pembayaran sebanyak dua bulan telah pun dilakukan pada pertengahan Jun 2017 menjelang sambutan Eidul Fitr. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, satu bulan gaji akan dibayar pada 21 Disember 2017 untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak-anak,” katanya
Selain itu, bantuan juga akan diberikan kepada 6,725 guru-guru KAFA dan 371 Ketua-Ketua Kampung Tradisi, 78 Ketua Kampung Baru Cina dan Kampung Bagan serta 48 Ketua Komuniti India.