Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud mengingatkan Pulau Pinang bukan satu-satunya negeri yang dilanda banjir.
Menurutnya, tanggapan yang mengaitkan bencana alam di negeri tersebut dengan pembangunan berlebihan serta penganjuran ‘Octoberfest’ adalah tidak tepat.
“Hujan dan ribut adalah dari Allah. Semuanya ketentuan Allah. Kalau banjir ini disebabkan “overdevelopment” Pulau Pinang, maka Pulau Pinang bukan satu-satunya negeri yang dilanda banjir.
“Kedah dan Perak pun kena (banjir) juga. Kalau Pulau Pinang dikatakan dilanda banjir kerana “Octoberfest”, maka negeri yang tak buat pun dilanda banjir. Selangor daripada tahun 2008 sering kena banjir kilat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya hal berkaitan alam difahami terlebih dahulu bukannya sibuk menjatukan hukuman.
“Kena fahamlah perubahan cuaca dan iklim dunia melanda tanpa mengira siapa. Kita tak perlu nak menjatuhkan hukuman.
“Bukan kerja kita. Kasihan pada mangsa mangsa banjir apabila perkara seperti ini dihujah sebegitu rupa,” jelasnya.
Ujar Dr Siti Mariah, mangsa banjir wajar didoakan kembali pulih manakala sukarelawan misi bantuan banjir selamat kembali.
“Sepatutnya kita doakan supaya keadaan kembali pulih cepat dan rakyat yang terlibat selamat dan diberi kesabaran yang tinggi juga semua petugas selamat pergi dan kembali.
“Lepas itu tolong cari dana untuk sumbangan kepada petugas dan mangsa. Bukan ambil kesempatan nak tenyeh musuh politik,” tegas Ahli Parlimen Kota Raja itu.
Mengulas pihak yang mentertawakan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana perlu meminta bantuan kerajaan Persekutuan, beliau berkata, tindakan Lim Guan Eng itu adalah wajar.
Menurutnya, Pulau Pinang memerlukan mobilisasi kakitangan jabatan kerajaan pusat untuk membantu memandangkan negeri itu mempunyai kakitangan yang terhad.
“Memang pun patut mohon bantuan kerana agensi kerajaan pusat tidak akan ‘go all out’ untuk bantu jika tidak ada arahan boss mereka.
“Perkara ini juga berlaku di Kelantan masa banjir kuning beberapa tahun lepas. Tak percaya cuba tanya Exco Kebajikan Kelantan.
“Jom politik matang dan sejahtera tanpa mengira kem dan buktikan Islam membawa Rahmat kepada semua. Jangan sebab akhlak kita, orang tak nampak Islam itu indah,” tambahnya lagi.