Menyedari kaum Cina tidak akan tertarik dengan tawaran pembangunan BN, PM Najib Razak beralih kepada taktik mengukuhkan ilmu dan budaya kaum itu dengan pengumuman akan membina 10 buah sekolah Cina yang baharu sebagai cara kempen menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, taktik tersebut akan gagal meraih sokongan Cina kerana bantuan seumpama itu hanya dilihat sebagai umpan menjelang pilihan raya.
Katanya, terdapat sekurang-kurangnya 6 buah sekolah Cina sedia ada akan ditutup. Justeru, katanya, masyarakat Cina akan hanya mendapat hanya 4 buah sekolah baharu kalau mengikut kiraan matematik.
Selain itu, kenyataan Najib dalam Perhimpunan Agung MCA pada 5 November lalu menyeru MCA memberitahu pengundi Cina yang DAP tidak boleh membentuk kerajaan kalau menang semua 50 kerusi kerana jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat ialah 222 buah kerusi, dianggap tidak cerdik oleh Lip Eng.
Katanya, kenyataan itu membuktikan Najib hipokrit kerana di hadapan kaum Melayu beliau memberitahu DAP akan mengetuai kerajaan sekiranya pembangkang menang.
“Realitinya kenyataan Najib di hadapan masyarakat Melayu kononnya DAP akan menguasai Putrajaya jika Pakatan Harapan menang. Ini jelas menunjukkan PM kita ‘menyesuaikan’ kenyataan beliau (hipokrit) bergantung kepada siapa yang mendengar ceramahnya.
“Adakah kita sebagai rakyat Malaysia mahu terus mengundi pemimpin seperti ini?” tanya Lim.
Ahad lalu, Najib menganggap Cina yang mempercayai DAP boleh mengubah kerajaan sebagai bodoh kerana DAP tidak punya cukup kerusi membentuk kerajaan. Najib dalam majlis itu mahu orang Cina memberi undi kepada BN yang memang telah sedia memerintah.