Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini merayu kepada orang ramai supaya tidak menjadikan mangsa banjir di Pulau Pinang sebagai bahan gurauan mereka susulan bencana yang melanda negeri itu pada 4 November lalu.
Sebaliknya, kata beliau, dirinya rela diketawakan oleh mana-mana pihak.
“Kalau nak ketawa, ketawakan saya sahaja, kalau nak ejek, ejeklah saya, jangan ketawa dan ejek mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.
Pulau Pinang dilanda banjir minggu lalu selepas dibadai ribut tropika. Banjir itu meragut tujuh nyawa manakala ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Sementara itu, Lim sekali lagi merayu kepada kerajaan persekutuan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM1 bilion daripada RM2.6 bilion yang diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di negeri itu.
Katanya, walaupun beliau menghargai lawatan Datuk Seri Najib Razak, namun tiada sebarang dana baru yang dijanjikan oleh perdana menteri oleh menangani masalah banjir.
“Kami tidak meminta baki RM1.6 bilion (daripada RM2.6 bilion yang diperuntukkan). Kami hanya minta RM1 bilion.
“Kami tidak minta lebih banyak atau peruntukan tambahan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan persekutuan sehingga kini, juga belum mengumumkan jenis bantuan langsung kepada mangsa banjir walaupun telah meluluskan dana RM150 juta untuk projek tebatan banjir.
“Najib hanya memberitahu kerajaan persekutuan meluluskan RM150 juta untuk pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa III Lembangan Sungai Pinang.
“Bagaimanapun, masih belum ada pengumuman jenis bantuan segera dan langsung yang akan diberikan kepada Pulau Pinang sehingga kini,” katanya. – Mkini