Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan bingung dengan keputusan polis untuk menyiasatnya berhubung dakwaan yang dibuat dalam saman fitnah yang difailkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di UK.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan itu dijalankan selepas “usaha bersepadu” oleh kumpulan yang dikaitkan dengan pihak yang menuntut dalam saman sivil itu untuk “mengganggu dan mengugut” dirinya.
“Sukar untuk memahami bagaimana pembelaan yang menyebut saya dan dipetik oleh defendan untuk menentang saman fitnah yang difailkan secara sukarela oleh seorang ahli politik Malaysia di mahkamah London, (dan dengan demikian dilindungi oleh keistimewaan mutlak), boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di Malaysia .
“Memperlekeh dan menakutkan saksi yang berpotensi dilihat sebagai kesalahan serius di mana-mana mahkamah dan ia ibarat menghina mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Terdahulu hari ini, adalah dilaporkan bahawa polis sedang menyiasat Ambiga berikutan laporan yang dikemukakan oleh Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno, Zulkarnain Mahdar pada 1 November lalu.
Ambiga dilaporkan sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan khianat awam.
Seksyen 505 (b) memperuntukkan kesalahan kerana membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman.
Ini berhubung dengan kenyataan pembelaan Rewcastle-Brown yang difailkan pada 11 Oktober yang menamakan Ambiga sebagai sumber dalam artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Mkini