Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam meluluskan peruntukan awal RM100 ribu bagi membuat pembaikian segera masjid dan surau di negeri itu yang terjejas akibat banjir 4 November lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Kassim berkata, peruntukan tersebut termasuk membaik pulih sekolah agama di Pulau Pinang yang terjejas banjir.
“Saya telah berbincang dengan YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Datuk Saifuddin Nasution selaku Penasihat Strategik Ketua Menteri.
“Alhamdulillah, Ketua Menteri telah meluluskan sebanyak RM100 ribu sebagai peruntukan awal,” katanya melalui satu kenyataan semalam.
Peruntukan awal itu katanya akan digunakan untuk kerja pemulihan, sebelum wang kutipan Tabung Khas Jumaat diumumkan.
“Kutipan yang diterima oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) nanti akan digunakan sepenuhnya untuk membantu masjid-masjid,” katanya.
Menurutnya pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memulakan usaha mengenal pasti dan menjalankan kerja-kerja anggaran, sebelum memilih serta melantik kontraktor yang bertanggungjawab, jelas beliau. – MD