Kenaikan harga minyak dunia yang tidak ditampung subsidi bagi harga runcit di Malaysia mula memangsakan pengguna.
Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata, kenaikan harga tidak akan terhenti kerana terdapat kebimbangan ketegangan politik di rantau Timur Tengah yang mungkin mengakibatkan berkurangannya pengeluaran minyak mentah.
Oleh itu, katanya, kerajaan Malaysia perlu mengembalikan subsidi jika tidak mahu rakyat menghadapi krisis minyak apabila harga runcit bahan api itu melambung.
“Memandangkan harga minyak baru sahaja dinaikkan sebanyak 7 sen menjadikan RON95 berharga RM2.31 seliter adalah tidak boleh dinafikan bahawa kantung negara sedang berada dalam keadaan yang parah (kerana tidak membekalkan subsidi).
“Dulu saya pernah meramalkan harga RON 95 akan mencecah RM3 seliter dan nampaknya ia akan menjadi realiti tidak lama lagi,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, kerajaan BN sukar untuk memberi subsidi kerana sedang bergelut dengan masalah kewangan terutama bagi menyediakan peruntukan dana bantuan banjir kepada Pulau Pinang serta Kedah dan mungkin sebelum hujung tahun, lain-lain kawasan di Semenanjung akan mengalami banjir.
“Ini bermakna harga minyak akan terus dibiarkan naik kerana kerajaan sangat memerlukan wang. Sekarang hanya negara China yang menjadi pengimport besar barangan kita sementara beberapa negara-negara lain di rantau ASEAN telah mengatasi kita dalam aktiviti ekonomi sedangkan negara-negara tersebut dulu pernah di belakang kita. Mengapa situasi yang mengecewakan ini boleh berlaku?” soal Khalid.
Khalid berkata kenaikan harga minyak akan membawa ekonomi ke arah pertumbuhan lembab. Katanya, keadaan itu telah pun berlaku apabila angka jualan di beberapa rangkaian pasar raya dan kedai barang runcit telah mengalami penurunan yang banyak.
Beliau juga tidak menolak kekurangan dana dan kelembapan ekonomi mungkin punca pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang sebaik-baiknya diadakan selepas pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lalu ditunda oleh PM Najib.
“Semakin lama PRU14 ditunda, semakin lembab ekonomi negara. Saya perhatikan walaupun skuad cybertrooper BN sudah diaktifkan, PM Najib masih takut membubarkan Parlimen,” sinis beliau.
Sehubungan itu, tegas Khalid, Malaysia memerlukan pemimpin yang pantas membuat keputusan seperti PM Jepun, Shinzo Abe. Hal ini bererti, katanya, hanya gandingan Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir sahaja yang ketika ini dilihat mantap serta berwibawa untuk memulihkan ekonomi Malaysia.
Manakala teori penguasaan politik Melayu dengan gandingan Umno bersama Pas akan mengudang malapetaka jika berlaku kerana tiada dasar yang muktamad boleh diputuskan akibat kedua-dua parti lembab dan tiada hala tuju perjuangan yang jelas, katanya.
“Justeru itu, sama ada PRU14 diadakan bulan depan atau pun tahun depan, kami sudah cukup bersedia. PM Najib bolehlah ambil masa yang lama untuk mencari-cari tarikh yang sesuai tetapi janganlah lagi sekali sampai penghujung mandat baru buat keputusan,” sindir Khalid.