Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai rombongan Pakatan Harapan (PH) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya esok untuk bertanya kenapa pendaftaran PH masih belum lagi diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), lapor The Malaysian Insight.
Barisan kepimpinan PH itu mahu tahu apakah RoS sengaja menangguhkan pendaftaran gabungan itu, tanpa alasan yang munasabah , kerana semua syarat yang dikehendaki sudah pun mereka patuhi.
PH mengemukakan permohonan pendaftaran kepada RoS pada 24 Julai lepas.
Seorang pemimpin kanan PH memberitahu The Malaysian Insight, pendaftaran itu tidak boleh ditangguhkan lagi kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan, sudah terlalu dekat.
“Dr Mahathir dan setiap ketua parti dalam PH akan ke KDN pada 15 November ini untuk bertanyakan sendiri mengapa pendaftaran PH dilambatkan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.
“Semua syarat sudah dipenuhi, apa lagi yang mereka mahu?
“Apakah RoS sengaja melambat-lambatkan supaya pengundi tidak dapat kenal logo PH pada PRU14?” kata sumber itu.
Sejak awal lagi, Mahathir berkata, jika pembangkang mahu menang, mereka perlu mengikut pendekatan BN iaitu menggunakan satu logo, menggunakan satu calon bersama dan satu manifesto bersama.
Sejak itu kempen dibuat agar PH melaksanakan konsep ini dengan mendaftarkan PH sebagai sebuah parti gabungan. – MD