Tentera Zimbabwe mengesahkan pihaknya telah merampas kuasa dengan sasaran ke atas “jenayah” yang berada di sekeliling Presiden Robert Mugabe, tetapi memberi jaminan bahawa pemimpin berusia 93 tahun itu dan keluarganya adalah selamat.
Dalam satu siaran ringkas di stesen penyiaran negara yang dirampas malam tadi oleh tentera, seorang jurucakap berkata, keadaan akan kembali seperti sedia kala sebaik sahaja “misi” tentera berakhir.
Pihak tentera juga mengesahkan mereka telah menahan Menteri Kewangan Ignatius Chombo.
Chombo sebelum ini adalah pemimpin pengasas kumpulan “G40” dalam parti pemerintah ZANU-PF yang diketuai oleh isteri Mugabe, Grace, yang dijangka menggantikan presiden berusia 93 tahun itu.
Awal hari ini, situasi di Zimbabwe dilaporkan semakin tegang apabila pasukan tentera dilaporkan mengambil alih kawalan di ibu pejabat stesen penyiaran negara, di Harare.
Ini susulan selepas parti pemerintah ZANU-PF menuduh ketua tentera, Jeneral Constantino Chiwenga melakukan pengkhianatan. Terdapat spekulasi rampasan kuasa akan berlaku.
BBC melaporkan, beberapa bunyi letupan turut kedengaran di Harare, namun punca sebenar tidak dapat dipastikan.
Sebelum ini, Duta Zimbabwe ke Afrika Selatan menolak dakwaan bahawa pentadbiran negara itu telah digulingkan oleh pasukan tentera.
Hanya 24 jam selepas Jeneral Constantino mengancam untuk campur tangan bagi menhapuskan ZANU-PF, seorang wartawan Reuters melaporkan kereta perisai berkeliaran di jalan-jalan utama sekitar Harare.
Pasukan tentera agresif memberi arahan kepada orang ramai supaya terus bergerak.
“Jangan cuba apa-apa. Terus jalan,” kata seorang tentera kepada wartawan Reuters di Harare Drive.
Dua jam kemudian, tentera menyerbu ibu pejabat ZBC, stesen penyiaran rasmi Zimbabwe yang juga dianggap sebagai suara rasmi utama Mugabe dan mengarahkan kakitangan untuk meninggalkan bangunan itu. Beberapa pekerja ZBC juga dikasari, dakwa dua kakitangan lain dan seorang aktivis hak asasi manusia.
Tidak lama selepas itu, tiga letupan mengeggarkan Harare, kata saksi kepada Reuters. – Mkini