Bekas Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Jake Nointin bersama 1,119 pengikut sertai Parti Warisan Sabah, kerana pemimpin baru PBS telah hilang fokus dalam perjuangan menuntut hak terhadap rakyat Sabah.
Katanya, Maximus Ongkili sebagai pemangku presiden PBS hanya pentingkan diri sendiri, mempertahankan jawatan dan selalu menjaga hati parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Saya tahu, dalam jiwa ahli PBS, ramai tidak selesa dengan kedudukan PBS sekarang ini dan saya percaya hanya masa sahaja akan buktikan bila parti tertua Sabah itu akan tinggalkan BN.
“Malah Maximus sendiri baru-baru ini berkata kepada Pemuda PBS semasa melancarkan mesyuarat tahunan PBS di Kadazan Dusun Cultural Association, jika kita gunakan bendera sendiri, kita akan mendapat lebih banyak undi,” kata Nointin, menunjukkan kebencian yang makin tinggi terhadap gabungan parti pemerintah.
Sekitar 250 ahli Sabah Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) dari kawasan Bingkor dan 1,500 ahli Umno dari Keningau menyerahkan borang penyertaan untuk bersama Warisan.
Beliau berkata begitu ketika program bersama rakyat anjuran Warisan di Keningau hari ini.
Turut hadir Presiden Warisan Shafie Apdal, Timbalan Presiden Darrel Leiking, Naib Presiden Junz Wong dan Peter Anthony selain beberapa lagi pemimpin parti.
PBS sedang dalam peralihan pucuk pimpinan di mana presiden Joseph Pairin Kitingan mengundur diri dari politik dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Maximus yang juga Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia.
Nointin yang meninggalkan PBS pada 22 September lalu turut berkata, salah satu kekecewaannya terhadap BN kerana Pairin diangkat menjadi ahli Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing, kerana baginya itu adalah perangkap untuk Pairin oleh BN yang mana kerajaan persekutuan tidak berminat untuk selesaikan.
“Tengoklah suruhanjaya itu sekarang. Ramai pembangkang serang Pairin kerana isu itu. Adakah kita nampak masalah dah selesai hingga sekarang,” katanya.
Nointin percaya hanya Warisan sahaja kerajaan negeri akan menggubal hak istimewa Negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Tambahnya, beliau berharap Warisan akan mendesak untuk menggubal royalti minyak, memetik kenyataan bahawa kerajaan persekutuan harus membayar 10% dulu dan selebihnya apabila kajian semula siap.
Selain itu, Nointin juga mendesak kad identiti khas untuk Sabah, lebih bajet pembangunan, pembaikan infrastruktur sekolah dan pemansuhan sistem geran komunal.
Hampir 5,000 penduduk Keningau dan kawasan sekitarnya menghadiri majlis itu. – TMI