Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim menyeru pengundi agar tidak terpedaya sekiranya kerajaan BN menurunkan harga minyak melalui pakej subsidi sementara menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Katanya, jelas BN sukar mengadakan PRU pada tahun ini memandangkan harga minyak dalam pasaran tempatan yang melambung tinggi.
“Mungkin strategi BN membiarkan harga minyak naik hampir RM3 seliter, selepas itu menurunkannya beransur-ansur hingga RM2 seliter sebelum mengadakan PRU14. Taktik ini mungkin dapat memujuk rakyat dan meraih sokongan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Sehubungan itu, Ng menggesa kerajaan BN jangan menunggu hampir ke tarikh PRU 14 untuk memberi subsidi, sebaliknya mula membekalkan subsidi bahan api pada bulan ini juga.
“Harga RON95 sebanyak RM2.38 seliter terlalu tinggi. Dulu harga minyak AS$100 setong di pasaran dunia pun harga minyak tempatan tidak begitu tinggi (kerana diberi subsidi).
“Subsidi minyak patut dikembalikan. Sekarang warga miskin dan orang yang berpendapatan rendah sedang dihimpit oleh harga minyak yang amat tinggi
“Berikutan dengan kenaikan harga minyak, harga barang-barang yang diangkut oleh lori dan van pun turut naik dan ini punca harga semua harga barang runcit, sayur, ikan dan daging meningkat tinggi,” kata Ng lagi.
Menurut beliau, semua rakyat Malaysia sepatut menikmati manfaat daripada hasil minyak sebab negara adalah pengeluar minyak. Namun, katanya jika kerajaan hanya menumpukan untuk menaikkan BR1M bukan semua orang akan dapat menikmati hasil minyak itu.
Ng juga memberitahu, berkemungkinan PRU14 akan diadakan selepas Hari Raya Puasa bagi menunggu keadaan ekonomi lebih baik. Bagaimanapun, katanya, rakyat diramal akan menolak BN sekali lagi dalam PRU 14.
“Sekarang orang ramai dari berbagai bangsa dan agama serta lapisan masyarakat sedang menunggu PRU14 untuk memberi mandat kepada PH.
“Di mana-mana saya pergi di Selangor pun begitu juga. Saya yakin kalau PRU14 ialah bulan depan atau awal tahun depan, PH akan menang besar.
“Oleh sebab itulah, saya pikir PRU14 akan lambat lagi. Kerajaan BN pun jelas sudah gagal mengurus-tadbir ekonomi negara dengan baik. Rakyat biasa tidak peduli dengan kadar pertumbuhan 6.2% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika kos sara hidup sungguh membebankan dan setiap hari merupakan satu cabaran,” tambah Ng.