Badan Perhubungan PAS Negeri Perak yakin dengan keikhlasan pengakuan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Harussani Haji Zakaria di dalam program Wacana Sinar Harian baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai kerajaan yang ‘lemah, tidak amanah serta rasuah’.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Ahmad Nuri Al Amin. Katanya, kenyataan tersebut sewajarnya perlu dijadikan intipati dan teras pertimbangan rakyat di dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memelihara amanah rakyat dalam ruang dan peluang yang ada semasa Pilihanraya Umum (PRU) ke – 13 nanti.
“Peringatan itu juga jelas membawa mesej agar jika pemimpin yang lemah, tidak amanah dan rasuah ini masih dipilih untuk memerintah, maka ia akan hanya menjadikan Bangsa Melayu makin berpecah dan sentiasa mundur kebelakang.
“Kenyataan tersebut bertepatan dengan apa yang telah didedahkan oleh PAS Perak sejak dari dulu lagi. Antaranya apa yang dinyatakan oleh Dewan Pemuda PAS Perak Februari lalu berkaitan seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Hal yang sama juga dapat diperhatikan dari pendedahan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak April lepas berkenaan satu dokumen membabitkan penyalahgunaan kuasa yang berunsur rasuah oleh seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak,” katanya.
Beliau juga mendedahkan pembrian projek kepada kroni yang terbaru di Perak melibatkan nilai projek RM5 bilion dan masih tidak mendapat jawaban yang sesuai dari Menteri Besar Dr Zambry Kadir
“Begitu dengan isu projek mega berjumlah RM5.8 Bilion yang dianugerahkan kepada Syarikat Atigas Technology yang awalnya hanya mempunyai modal berbayar kurang daripada RM100, yang hebat dipertikaikan di Sidang DUN Perak pada awal Ogos yang lalu.
“Gambaran-gambaran ini jelas menunjukkan kesahihan kenyataan Tan Sri Harussani tentang ‘kelemahan, pengkhianatan dan amalan rasuah’ kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mampu dibendung oleh ulama kerajaan dari terus berleluasa.
“PAS Perak yakin rakyat Perak sedar dan perihatin terhadap gejala ini demi memastikan ianya tidak berterusan dan dikembalikan kepada pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang telah terbukti di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang terbukti bersih daripada amalan rasuah,” ujarnya.
Katanya, gejala rasuah yang masih menular di dalam BN akan menyebabkan rakyat menolak BN sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Harussani. Masyarakat Islam terutamanya yang yakin bahawa amalan rasuah tersebut adalah kotor perlu menolak siapa sahaja pemimpin yang tercalit dengan imej rasuah.