Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sepatutnya berhujah dengan profesional dan bukan mengancam untuk menumbuknya di Dewan Undangan Negeri Pahang semalam.
Bagaimanapun, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu berkata beliau tidak akan melaporkan Adnan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN memandangkan beliau berpendapat insiden itu sebagai “remeh”.
“Buat masa ini saya tak akan ambil apa-apa tindakan. Sebab benda ni bagi saya ialah perkara yang remeh.
“Saya tak ada rasa takut. Saya rasa kita berhujah patut profesional. Saya melihat dia emosional, kurang sihatlah. Saya rilek je.
“Jika ada apa-apa, jawablah dalam rumusan dan kesimpulan pada (sidang) Selasa minggu depan. Kamu tak perlu bertengkar, maki orang, menunjuk-nunjuk. Itu tak gunalah.
“Kita kena tunjuk pada rakyat bahawa kita bawa masalah rakyat, bukan masalah saya sendiri,” katanya.
Adnan ketika kejadian mempersoalkan sama ada Zulpuri seorang Islam dan mengancam untuk menumbuknya.
Ini selepas Zulpuri mencabar kenyataan menteri besar itu bahawa banjir di Pulau Pinang pada awal bulan ini disebabkan balasan Tuhan berikutan pesta arak di negeri itu.
“Dia jadi sangat marah bila saya kata bahawa tidak ada pesta arak di Mentakab ketika banjir berlaku pada 2013.
“Saya mahu ajarnya bahawa kamu tak boleh mengatakan banjir berlaku di kawasan pembangkang kerana minum arak. Kemudian dia tanya kepada saya ‘kalau berani, kita bertumbuk di luar’,” katanya.
Ahli Parlimen DAP itu juga mengesahkan bahawa selepas speaker Datuk Ishak Muhammad menangguhkan sidang, Adnan terus mencabarnya untuk beradu tenaga. – Mkini