Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berikrar “menguburkan” MIC yang didakwanya gagal mewakili masyarakat India sejak 60 tahun lalu.
Pengerusinya, P Waythamoorthy mendakwa parti komponen Barisan Nasional itu tidak mengagihkan dana yang diperolehi kepada masyarakat India, sebaliknya membahagikan wang itu kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan mereka sendiri.
“Mereka menipu kepada masyarakat India dengan mengatakan Strategi Lautan Biru (Kebangsaan, NBOS) masyarakat India…itu inilah. Anda diberikan bajet RM160 juta dan mereka katakan bajet yang ‘fantastic’. Ini semua tipu.
“RM160 juta tak sampai kepada masyarakat dan ada peruntukan khas di bawah unit ekonomi, ianya tidak sampai kepada masyarakat. MIC tubuh NGO mereka dan berikan antara mereka,” katanya kepada FMT malam tadi selepas sambutan ulang tahun ke-10 Perhimpunan Aman Hindraf.
Waythamoorthy berkata, Hindraf mahu memberi pengajaran kepada MIC dengan melancarkan kempen menyingkirkan BN daripada Putrajaya.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan hak asasi India itu bimbang parti pembangkang tidak dapat menembusi dan meyakinkan pengundi di kawasan luar bandar.
“Di kawasan luar bandar seperti Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Perak…kita tak mempunyai orang-orang pembangkang untuk masuk ke kawasan luar bandar bagi meyakinkan pengundi.
“Pakatan Harapan boleh bersaing di kawasan bandar. Kawasan bandar sama ada kelas atasan atau pertengahan (masyarakat India) sudah tentu dengan Pakatan Harapan, tidak dapat disangkal lagi mengenai itu.”
Sehubungan itu, katanya, Hindraf perlu mencari jalan bagi mencapai serta meraih sokongan pengundi luar bandar dan mereka akan berunding dengan Pakatan Harapan untuk bertanding atas tiket gabungan pembangkang itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Terdahulu, Waythamoorthy bersama pemimpin Pakatan Harapan melancarkan kempen undi sifar untuk BN. Kempen yang bermula di Seremban itu akan diperluaskan ke kawasan lain di Negeri Sembilan.
Hindraf merupakan pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan menjelang PRU 2008, yang menyaksikan kekalahan besar BN dan peralihan sokongan India kepada pembangkang.
Pada PRU 2013, Waythamoorthy dilantik senator oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, susulan persefahaman dengan BN untuk menjaga kepentingan kaum India.
Beliau bagaimanapun meletak jawatan daripada Kabinet kurang setahun kemudian kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji dalam persefahaman yang dimeterai semasa kempen PRU. – FMT