Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Salahuddin Ayub berkata, Umno-BN kini tidak lagi boleh tidur nyenyak apabila peneroka Felda yang mereka sifatkan sebagai pengundi tegar mereka selama ini sudah menunjukkan sambutan luar biasa kepada program yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).
Kehadiran peneroka yang begitu menggalakkan dalam program Luaskan Harapan anjuran PH di Felda Papan Timur Pengerang Johor baru-baru ini memberi isyarat bahawa telah berlaku kebangkitan dalam kalangan mereka yang disifatkan sebagai pengundi tegar Umno-BN selama ini.
“Dalam jelajah ceramah ‘Luaskan Harapan’ yang dibuat di Felda Papan Timur Pengerang Johor kali ini, peneroka Felda menunjukkan suatu gelombang kebangkitan yang hebat telah berlaku apabila kehadiran mereka Felda ke siri jelajah ceramah ini begitu menggalakkan.
“Kebiasaan yang hadir ke ceramah PH di kawasan Felda hanya sekitar 50 orang sahaja namun pada malam program Luaskan Harapan ini, kehadiran mencecah 500 orang mereka yang hadir dikenal pasti memang daripada kalangan peneroka.
“Ia adalah suatu fenomena yang akan membuatkan Umno-BN tidak tidur lena. Hal ini tidak pernah terjangkau oleh akal fikiran kita sebelum ini kerana umum mengetahui undi dari Felda inilah yang selama ini menjadi talian hayat Umno-BN,” kata Salahuddin sewaktu berucap dalam ceramah ‘Luaskan Harapan’ di Felda Papan Timur Pengerang Johor baru-baru ini.
Timbalan Presiden AMANAH itu juga menegaskan bahawa kehadiran yang ramai itu memberikan isyarat jelas bahawa rakyat kini sudah sedar bahawa permasalahan yang mereka alami selama ini adalah hasil kerosakan yang dilakukan pemimpin Umno-BN.
“Ini adalah isyarat jelas menandakan Umno-BN sudah ditolak oleh rakyat termasuk peneroka, yang telah berubah untuk bersama-sama memperjuangkan hak mereka dengan menunjukkan sikap hadir ke ceramah Pakatan Harapan (PH).
“Gelombang perubahan ini perlu disambut baik oleh pimpinan PH supaya kita akan terus dilihat sebagai peneraju yang menyambut kebangkitan mereka sekali gus membawa agenda yang murni yakni memartabatkan rakyat. – MD