Kerajaan BN digesa mengembalikan subsidi minyak terutama petrol RON95 serta-merta dan tidak menunggu kenaikan selama 3 bulan berturut-turut sebelum melakukannya.
Demikian ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad. Katanya, rakyat perlu diberi susbsidi memandangkan Malaysia negara pengeluar minyak dan menikmati keuntungan daripada kenaikan harga petroleum mentah di pasaran antarabangsa yang mencecah AS$64 setong.
“Kerajaan perlu mengembalikan subsidi minyak dan bukannya menunggu hingga harga mencecah RM2.50 seliter untuk 3 bulan berturut-turut sebelum bertindak.
“Kerajaan sepatutnya beri rakyat untung sedikit sebab harga minyak di Malaysia amat tinggi walaupun negara ini adalah pengeluar minyak,” kata ahli parlimen Shah Alam itu.
Khalid juga memberitahu, melalui tinjauan yang dilakukan oleh pekerja pusat khidmat beliau, mendapati banyak kedai-kedai runcit di sekitar Selangor, hanya barang pengguna seperti beras, telur, roti dan mi segera yang laris dijual. Katanya, hal itu menunjukkan kebanyakan rakyat biasa sedang ‘ikat perut’ atau sudah menjadi miskin kerana tidak mampu menangani kenaikan kos hidup.
“Kadar inflasi hari ini di antara 4% hingga 4.5% dan Indeks Harga Pengguna pula ialah 3.7%.
“Ini bukti yang jelas kos sara hidup dan harga barang sudah berada di paras tinggi dan angka-angka yang disebut di atas telah diumumkan oleh pihak kerajaan dan bukan oleh pihak Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau mengulangi agar Kerajaan BN menghapuskan segera Cukai Barangan dan Perkhidmatan kerana cukai itu punca utama kenaikan harga barang.
“Dasar Pakatan ialah menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak kepada paras RM1.50 ke bawah. Inilah 2 dasar yang penting sekali selain dari dasar utamanya menghapus kleptokrasi dan rasuah jika diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum nanti.
“Juga dari pandangan rakan-rakan usahawan yang saya kenali, mereka semua berpendapat ekonomi negara akan mengalami masalah yang amat kritikal jika pilihanraya umum diadakan selepas bulan April depan. Oleh itu, PM Najib, anda ada pilihan apa sekarang?” tanya Khalid lagi.