Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim memberi jaminan masyarakat India boleh percayakan Hindraf, yang beliau gambarkan sebagai satu gerakan politik yang kuat bawah kepimpinan pengerusinya, P Waythamoorthy.
Zaid di Facebook memuji himpunan anjuran Hindraf sempena ulangtahun ke-10 tunjuk perasaan membantah dakwaan dasar diskriminasi terhadap orang India pada 2007.
Bercakap kepada FMT, Zaid berkata masyarakat tidak faham perasaan dipinggirkan dan diberi layanan tidak adil, yang sering dialami orang India.
Beliau berkata masyarakat itu juga ada isu kad pengenasan, dan ramai daripada mereka tiada kerakyatan.
“Apabila kamu bercakap dengan masyarakat India, kamu akan nampak yang isu itu tidak ditangani.”
Menurut Zaid, isu paling penting ialah masyarakat India mahukan pemimpin yang boleh mereka percayai.
“Kamu perlu mempercayai, dan saya rasa kamu boleh percayakan Hindraf,” katanya.
“Saya nampak jumlah kehadiran yang sangat baik walaupun hujan, dan kamu akan perasan mereka orang kebanyakan menyokong pemimpin mereka.”
Himpunan itu, yang diadakan di Seremban, turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan seperti Adun Perai P Ramasamy dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dari DAP, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Himpunan 2007 di ibu negara menghimpunkan lebih 50,000 orang India membantah masalah kerakyatan dalam kalangan masyarakat India Malaysia, perobohan kuil Hindu, isu kehilangan tempat tinggal warga pekerja ladang dan penukaran agama secara paksa.
Pengaruh gerakan itu dikatakan menyumbang kepada kejayaan parti pembangkang pada pilihan raya umum Mac 2008 apabila mereka mematahkan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Dewan Rakyat.
Hindraf, di bawah Waytha, kemudian menyokong BN pada pilihan raya umum seterusnya pada Mei 2013, selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan gabungan itu, yang berjanji akan memperkenalkan langkah membantu masyarakat India.
Waytha kemudian dilantik sebagai seorang senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi meletakkan jawatan pada Februari 2014, atas alasan kerajaan BN gagal memenuhi terma MoU.
Zaid berkata Hindraf merupakan komponen penting dalam menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat India, tetapi masih ada lapisan yang perlu dilalui.
Untuk itu, penyelesaian memerlukan seorang pemimpin akar umbi yang boleh mereka percayai, kata Zaid.
Merujuk kepada Waytha, Zaid berkata Waytha ada potensi walaupun ada pihak menggambarkan beliau sebagai seorang pengkhianat.
“Saya tak rasa begitu,” katanya kepada FMT. “Saya rasa dia tulen, sebab itu saya sokong.” – FMT