Walaupun Pakatan Harapan (PH) menumpukan isu skandal 1Malaysia Development Berhad sebagai isu utama pilihan raya umum (PRU) ke 14 namun Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin beranggapan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga minyak lebih utama di negeri itu.
Kata Nizar, dua isu itu lebih dekat dengan pengundi di Perak yang puratanya banyak di luar bandar.
“Kami akan terus giatkan usaha untuk meraih sokongan rakyat dengan memberi maklumat sebenar mengenai isu-isu harian contohnya isu harga minyak ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Katanya lagi, isu harga minyak memang amat mengesankan kerana ia tidak stabil dan sering naik minggu demi minggu.
“Dahlah harga minyak sekarang mencekik leher rakyat terutamanya warga miskin ditambah pula dengan ketidakstabilannya. Ini satu situasi yang amat menekan saku rakyat. Saya menggesa kerajaan pusat supaya menstabilkan harga minyak RON95 dan mengembalikan subsidi pada RM1.50 seliter .
“Selain dari itu, saya ingin memberitahu kerajaan bahawa ramai usahawan kecil amat kecewa apabila kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan tidak diturunkan kepada 3% dalam pembentangan Belanjawan 2018 bulan Oktober lalu. Kadar 6% sebagai kadar permulaan adalah terlalu membebankan,” tambah ADUN Changkat Jering itu.
Beliau juga menyeru agar kerajaan menggiatkan usaha untuk membenteras rasuah. Katanya, kes rompakan kedai emas dan bank yang sering dipaparkan pada masa kini juga merupakan satu petunjuk ekonomi negara sedang merosot dan rakyat dalam kesusahan.
“Apakah langkah kerajaan untuk membantu rakyat? Sehingga kini saya belum nampak apa-apa langkah konkrit seperti menurunkan harga minyak ke bawah paras RM2 seliter.
“Caj untuk perkhidmatan telefon pintar sama ada panggilan dan pesanan ringkas (SMS) juga terlalu tinggi. Harga minyak masak tinggi walaupun Malaysia negara pengeluar kelapa sawit.
“Orang ramai sekarang menunggu pilihan raya umum untuk memberi mandat kepada PH kerana dasar PH adalah jelas iaitu menghapuskan rasuah, menghapuskan GST, mengembalikan subsidi minyak dan minyak masak.
“Dengan ini, kos sara hidup dapat diturunkan kerana harga barang tidak akan menjadi begitu mahal seperti hari ini,” sambung Nizar lagi.
Beliau juga berkata, sumber-sumber tertentu memberitahu bahawa pilihan raya umum mungkin akan diadakan pada bulan April 2018.