Peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, R Sivarasa berkata, anak guamnya tidak mengelirukan kabinet berhubung kerugian pertukaran asing (Forex) melibatkan Bank Negara Malaysia pada 1990-an.
Anggota Parlimen PKR itu berkata Anwar telah memberi taklimat kepada kabinet dan parlimen berdasarkan laporan ketua audit negara mengenai perkara itu.
Beliau berkata jabatan audit negara mempunyai akauntan profesional manakala Anwar bergantung kepada mereka untuk melakukan tugasnya sebagai menteri kewangan.
“Anwar beritahu RCI bahawa mereka ini adalah profesional dan menandatangani laporan itu. Persoalan mengelirukan (kabinet) tidak timbul.
“Janganlah harap seorang yang bukan akauntan akan mempersoalkan akauntan yang diamanahkan untuk melakukan audit, kamu tidak boleh mencabarnya. (Para profesional) menandatangani akaun itu,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen petang ini.
Sivarasa mengulas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mengatakan bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar, yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri, mungkin bersubahat dengan Tan Sri Nor Mohamed Yaakop bagi menyembunyikan fakta tertentu daripada kabinet.
Nor Mohamed bertanggungjawab ke atas beberapa portfolio di Bank Negara pada masa itu, termasuk pengurusan rizab luar negara.
RCI juga menyimpulkan Mahathir dan Anwar mengetahui kerugian Bank Negara dalam pasaran pertukaran asing.
Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendakwa kerugian RM31.5 bilion disebabkan aktiviti pertukaran asing “berlebihan” dan “spekulasi” Bank Negara antara 1992 dan 1994.
Ini mengakibatkan “kesan yang besar” terhadap ekonomi.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, mendakwa kerajaan cuba mendapatkan keuntungan politik dengan membentangkan laporan itu pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menuntut Dewan Rakyat membahaskan laporan RCI tersebut. – Mkini