Peguam Dr Mahathir Mohamad menyelar penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex pada 90-an membabitkan bekas perdana menteri dan Anwar Ibrahim.
Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam semasa perbicaraan selama dua bulan yang berakhir pada 19 September berkata, prosiding itu dipenuhi dengan andaian yang boleh dipersoalkan mengikut undang-undang.
“Bahan-bahan yang dirujuk di dalam prosiding RCI berasaskan kepada khabar angin, ramalan, anggapan dan andaian, tidak memenuhi mana-mana tahap kredibiliti yang boleh diterima secara sah, untuk mencapai kesimpulan sedemikian,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam reaksi segeranya terhadap pembentangan laporan RCI di Parlimen.
Penemuan laporan RCI yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober dibentangkan di Parlimen hari ini.
RCI melaporkan Bank Negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam dagangan tukaran wang asing (forex) antara daripada 1992 hingga 1994.
RCI juga berpendapat insiden itu melibatkan pecah amanah bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.
Nor Mohamed Yakcop, yang menjadi penasihat bank pusat pada ketika itu, juga dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Nor Mohamed menguruskan portfolio Bank Negara antara tahun 1986 hingga 1993, termasuk menguruskan rizab luar dan peraturan untuk pasaran kewangan dalaman.
RCI berpendapat Dr Mahathir, Anwar Ibrahim Gabenor, bekas Jaafar Hussein dan Timbalannya Lin See Yan boleh didakwa di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat.
Anwar ketika itu menjadi menteri kewangan.
“Malang sekali, walaupun laporan RCI dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong pada 13 Oktober, tetapi baru hari ini – dan secara tiba-tiba – kerajaan membentangnya di Parlimen tanpa sebarang notis awal kepada orang ramai, dan selepas kekecohan mengenai pentingnya perkara itu, seperti semasa RCI ditubuhkan dulu.
“Lebih teruk lagi, kerajaan masih tidak tahu pentingnya untuk membuat satu salinan laporan kepada Dr Mahathir melalui kami.
“Langsung tiada rasa hormat dari kerajaan Perdana Menteri Najib Razak seperti yang dijangka.”
Beliau berkata, peguam-peguam Dr Mahathir akan membuat “komen yang wajar” tentang penemuan RCI selepas mengkaji laporan itu sebaik sahaja ia diperolehi, dan selepas berbincang dengan Dr Mahathir.
Sementara itu, peguam Anwar, Gurdial Singh Nijar, berkata: “Keputusan ini kelakar. Keputusan yang tidak masuk akal berdasarkan keterangan yang diberikan.” – TMI