Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru Parlimen mengadakan sidang tergempar bagi membahaskan usul khas mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri Najib Razak segera menghubungi “rakan baik” beliau, Donald Trump untuk menyuarakan pendirian Malaysia dalam isu itu.
Katanya, tindakan Amerika itu bukan saja angkuh tetapi satu tindakan provokasi yang akan mengancam kestabilan di seluruh dunia Islam.
“Perdana Menteri Najib Razak juga perlu segera menghubungi rakan baik beliau, Presiden Trump, untuk merekodkan kecaman Malaysia terhadap langkah AS ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Istilah “rakan baik” itu pernah diungkapkan oleh Menteri Luar Anifah Aman selepas Sidang Kemuncak Asean di Manila, Filipina bulan lalu.
“Perdana Menteri Najib kawan baik saya, sahabat baik saya. Kami telah lama kenal sebelum saya menjadi presiden ketika saya berada dalam dunia perniagaan,” kata Trump di hadapan pemimpin-pemimpin lain, seperti disebut oleh Anifah.
Trump mengumumkan AS mengiktiraf Bailtulmaqdis sebagai ibu kota Israel, menyatakan ia “permulaan pendekatan baharu kepada konflik antara Israel dan Palestin”.
Beliau juga mengarahkan Jabatan Negeri AS memulakan persediaan untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv. – TMI