Hanya tinggal batu asas yang dipanjat tumbuhan liar dengan persekitaran bersemak-samun walaupun bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejak lima tahun lalu.
Itu penemuan mengejutkan Pemuda AMANAH Kelantan yang diketuai Hazmi Hassan dalam tinjauan mereka di Felcra Mek Nab, Berangan, Machang semalam.
Menurut Hazmi, situasi terkini di tapak majlis pecah tanah itu menimbulkan banyak persoalan memandangkan kerajaan negeri memberitahu projek lebuh raya dari Kuala Krai ke Kota Bharu itu dijangka siap 3 Disember lalu.
“Kenapa laluan yang dibuka berhenti separuh jalan dan ada projek penanaman pokok getah oleh Felcra. Adakah pihak kerajaan masih tidak selesai hal pengambilan tanah?
“Adakah kerajaan masih serius untuk menyiapkan projek ini? Adakah kerajaan hari ini mampu menyiapkan projek ini seperti mana yang telah dijanji?” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, projek Lebuh Raya Rakyat merupakan antara janji terbesar Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu apabila majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Almarhum Nik Aziz pada 28 Mei 2012.
“Pembinaan Lebuh Raya Rakyat ini mengetengahkan sistem wakaf dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa kutipan tol.
“Hari ini (semalam) saya ke Kampung Berangan Mek Nab, Machang untuk melihat sendiri perkembangan Lebuh Raya yang merupakan senjata utama menghadapi PRU13.
“Saya mencari batu asas di mana tempat Almarhum Tok Guru merasmikan projek ini. Namun, sehingga kini projek Lebuh Raya Rakyat masih tidak siap dan terkini projek ini seperti dilupakan terus tanpa berita terkini,” ujarnya.
Laluan yang dibuka di Berangan, Machang berhenti separuh jalan dengan terdapat penanaman getah oleh Felcra.
Beliau berkata, keadaan tersebut dilihat bukti bahawa kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir Pas tidak mampu melakukan apa-apa perubahan sekali gus berperanan sebagai sebuah kerajaan yang sebenar.
“Walhal inilah antara harapan besar Almarhum di mana Kelantan satu-satunya negeri yang membina sendiri sebahagian lebuh raya.
“Almarhum Tok Guru begitu yakin bahawa projek dapat disiapkan dimana Dato’ Haji Husam Musa diamanahkan almarhum untuk menyiapkan projek ini,” jelasnya.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar yang pernah memberitahu sebuah bangunan pun tidak boleh siap dalam tempoh 100 hari, beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri masih seperti dahulu walaupun sudah lebih empat tahun Pas menang PRU13.
Terdahulu, reaksi Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas itu selepas Prof Agus mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak melakukan apa-apa perubahan selepas menang PRU13.
“Tidak ada apa-apa perubahan yang besar selain hanya mengikut pentadbiran yang telah ditinggalkan Almarhum Tok Guru,” ulang Hazmi lagi.
Beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini turut memberitahu kerja-kerja pembinaan fasa pertama projek lebuh raya itu dari Bukit Tiu, Machang hingga Dusun Damar di Kuala Krai sejauh 30.5 kilometer yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada 27 Ogos 2014 juga masih belum siap.
Sehubungan itu, Hazmi berharap wakil kerajaan negeri dapat membuat kenyataan terkini berhubung status sebenar pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang menjadi tanda tanya rakyat Kelantan.
Untuk rekod, kerajaan Pas Kelantan turut difahamkan menukar kontraktor yang dilantik beberapa kali selain terdapat syarikat yang memfailkan saman kerana mendakwa ditamatkan kontrak tanpa menurut prosedur.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 1 Jun 2015 dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan akan membantu menyiapkan jajaran sejauh kira-kira 43 kilometer bermula di Kota Bharu hingga ke Machang mengikut persetujuan yang telah dicapai.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu turut memberitahu kerajaan negeri pula akan menyiapkan laluan sepanjang 30 kilometer dari Machang hingga ke Kuala Krai. – MD