Walaupun kerajaan BN diramal akan mudah meluluskan persempadanan pilihan raya 2016 yang dilakar Suruhanjaya Pilihan Raya berasaskan kawasan dominasi Melayu pada sesi Parlimen Mac 2018, namun parti pemerintah masih gentar menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, BN melihat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ancaman baharu yang akan memecahkan undi Melayu, sekali gus membuat persempadanan tersebut tidak bernilai kerana ianya dirangka ketika Umno masih kuat dan belum berpecah.
“Nampaknya PRU14 akan diadakan pada April tahun depan dengan persempadanan baru. Namun begitu, pemimpin-pemimpin BN tidak yakin menang dan oleh itu mereka sedang menghentam Tun Dr Mahathir dan DAP habis-habisan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang ke 71,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Suee Lim lagi, rakyat sudah nampak dengan jelas ‘berkesannya’ pentadbiran BN dalam isu-isu kejatuhan nilai Ringgit, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga minyak dan minyak masak, pelabur asing lari, kos sara hidup melambung, kadar jenayah bertambah dan kadar kadar pengangguran juga meningkat.
Oleh itu, katanya, mereka tidak akan mengundi BN lagi pada PRU 14 walaupun di kawasan kubu kuat Umno sekali pun.
“Bukankah ini menunjukkan betapa ‘berjayanya’ pentadbiran BN?
“Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin mereka rasa gentar terhadap Mahathir. Mereka takut Dr Mahathir akan dapat mempengaruhi semua lapisan masyarakat supaya meyokong Pakatan Harapan (PH). BN juga tahu lebih 80% orang Cina menyokong Pakatan.
“Walaupun begitu, PM Najib terpaksa bubar Parlimen sebelum Anwar Ibrahim keluar dari penjara (pada Jun 2018) kerana Anwar ialah ‘campaigner par excellence’ (pengkempen yang terbaik dari segi strategi dan kemahiran berceramah).
“Justeru itu, BN amat perlukan ‘bantuan’ dari persempadanan baru untuk menang PRU14 dan pilihan raya hanya akan diadakan selepas persempadanan tersebut diluluskan di Parlimen. Ini bererti PRU14 ialah pada hujung April ataupun awal Mei,” tegas Suee Lim lagi.