Pakatan Harapan (PH) Terengganu sedia memberikan platform kepada bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said melawan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata gabungan pembangkang sedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin masyarakat yang mahu menumbangkan kerajaan BN pada PRU14.
“Kalau beliau betul-betul berhasrat untuk membela hak rakyat, kita sedia menerima beliau,” kata Raja Bahrin, dan pihaknya selalu berjumpa dengan Ahmad Said dan berbincang “macam biasa”.
“Kita tidak boleh buat tawaran yang besar dan istimewa lebih dari biasa, terpulang kepada kesudian masing-masing,” katanya.
Ahmad Said sebelum ini dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan BN Terengganu sekarang. Beliau meletakkan jawatan menteri besar pada 2014 untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman.
Selain daripada berhadapan dengan Umno, PH dijangka akan bertembung dengan PAS negeri itu. Terengganu dianggap sebagai kubu kuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Raja Bahrin percaya PH Terengganu mampu menangani pertandingan 3 penjuru di Terengganu.
“Dari segi konsepnya, kita akan bertanding di semua 32 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen,” katanya kepada FMT. “Berhubung pembahagian kerusi, ia masih dalam proses dan setakat ini lebih 50% persiapan kita dah buat.”
“Kita memberi fokus kepada kerusi bandar seperti Kuala Terengganu, Dungun (PAS-Wan Hassan Mohd Ramli), Kemaman (BN-Ahmad Shaberi Cheek) dan Kuala Nerus (PAS-Mohd Khairuddin Aman Razali), di mana pengundinya sangat celik maklumat,” katanya.
Ditanya mengapa beliau yakin rakyat Terengganu akan memilih PH, terutamanya selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu daripada PAS sejak 2004, beliau berkata kerana faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada kedudukan sekarang, Umno mempunyai 17 kerusi DUN, PAS 14 kerusi DUN manakala PKR 1 kerusi DUN. Di peringkat Parlimen, PAS dan Umno masing-masing 4 kerusi, dan Amanah 1 kerusi.
“Kita yakin akan membuat kejutan di Terengganu, sekurang-kurangnya kita boleh menang lebih daripada 16 kerusi,” katanya.
Tahun lalu, FMT melaporkan gabungan pembangkang masih tercari-cari pemimpin tempatan untuk menerajui kempen di Terengganu. Amanah dikatakan menyasarkan Adun Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad manakala PPBM menyasarkan Ahmad Said. – FMT