PAS sudah mula semakin jelas jadi sebuah parti ultra konservatif, kata penganalisis politik, selepas presidennya Abdul Hadi Awang membuat kenyataan hanya orang Islam akan ada peranan sebagai pembuat dasar, termasuk jadi anggota kabinet, dalam sebuah kerajaan parti Islam itu.
Mereka berpendapat kenyataan Hadi itu dibuat untuk menarik undi Melayu dan Islam, tetapi pada masa sama menjauhkan lagi penyokong bukan Islam dengan parti itu.
Penganalisis politik Dr Kartini Aboo Thalib berkata kenyataan Hadi itu mesej bahawa jika PAS menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, anggota kabinetnya dijamin disandang oleh kaum Melayu yang beragama Islam.
“Ini taktik pancing undi orang Melayu Muslim. Kalau undi PAS dan ia menang, anggota kabinet semua Melayu Muslim. Kalau undi BN-Umno anggota kabinet campur-campur, ” katanya kepada The Malaysian Insight.
Hadi dalam satu tulisan yang disiarkan di laman web Harakahdaily minggu lalu menyebut “Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.”
Dalam tulisan bertajuk “Mengapa Kalau Islam Tidak Boleh?” itu, Hadi bertanya kenapa apabila PAS membuat pendirian sedemikian parti Islam itu dikecam sedangkan parti politik lain pun ada pendirian tertentu dalam soal yang sama.
Hadi turut menjelaskan Islam tegas mewajibkan penganut Islam jadi pemimpin utama yang menjaga dasar dan konsep negara, tetapi menerima bukan Islam kerana kepakaran dan pengurusan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kenyataan Hadi ini akan mengelirukan penyokong PAS sendiri, kalau betul ia hanya ingin jadi penentu dalam PRU14, seperti yang diwar-warkan sebelum ini.
“Ini kerana, seorang kingmaker memerlukan kerjasama daripada semua parti tapi cakap-cakap sebegini, walaupun dapat meraih pengundi tegar dari Melayu-Islam, ia boleh menakutkan sejumlah besar pengundi bukan Melayu-Islam,” katanya.
Hisommudin Bakar dari Ilham Centre pula berpendapat kenyataan Hadi itu akan lebih menyukarkan PAS untuk dapat undi bukan Islam dan sesetengah orang Islam, walaupun ia mahu mengetengahkan imej inklusif dengan meletakkan calon bukan Islam.
“Adakah ini usaha PAS untuk meyakinkan pengundi Melayu-Islam bahawa parti PAS kini merupakan pembela dan juara dalam perihal umat Islam dan Melayu khususnya?
“Kenyataan berkenaan juga menunjukkan pandangan PAS yang lebih ultrakonservatif dalam soal pemerintahan dan bakal mengundang implikasi politik dalam masyarakat yang berbilang kaum ini,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.
PAS sebelum ini membayangkan akan meletakkan calon bukan Islam bertanding atas tiketnya pada PRU14, dengan PAS Pahang mengumumkan bakal menurunkan 10% calon bukan Islam di negeri itu.
Hisomuddin berkata pendirian Hadi itu bukan saja menunjukkan garis politik keras tetapi satu jalan berpatah balik kepada gaya politik pada era 1980-an.
“Ia bukan saja menakutkan pengundi bukan Islam, malah mengundang rasa kurang selesa di kalangan pengundi Muslim dengan pendekatan politik sebegitu.
“Pendekatan politik Islam jalur keras kurang sesuai dipraktikkan di Malaysia. Melihat kepada trend ini, PAS nampaknya kembali kepada politik era 80-an dan dikhuatiri ia juga akan menyebabkan aras sokongan terhadap parti itu akan merosot mendadak,” kata Hisommudin.
Ketua program pengajian politik Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat sementara itu mempertikaikan logik kenyataan Hadi dan bertanya orang bukan Islam dan bukan Melayu mana lagi yang mahu mengundi PAS.
“Hadi secara tidak langsung mengusir undi bukan Islam untuk calon PAS, kalau masih ada yang tinggal.
“Orang bukan Islam jenis yang macam mana yang akan mengundi untuk parti yang percaya bahawa mereka (bukan Islam) berada pada kedudukan yang rendah apabila mereka hanya boleh diperintah tetapi bukan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah,” kata Wong.
Beliau berkata sekiranya pendirian sama disuarakan oleh parti politik di Barat, mereka akan dituduh sebagai Islamofobia dan bersikap perkauman.
Wong juga berkata dalam suasana sekarang beliau mahu dengar apa pula pandangan pemimpin PAS lain seperti Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Iskandar Samad mengenai idea Hadi itu.
“Adakah mereka akan menolaknya atau mereka akan bersetuju atas konsep wala’?,” soalnya. – TMI