Kontroversi PKR Selangor mungkin akan menerima beberapa ADUN Pas yang mahu bertanding atas tiket PKR didakwa bakal merugikan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) berkata, mana-mana ADUN Pas yang ingin bersama PH seharusnya meninggalkan Pas sebelum pembubaran Dewan Negeri Selangor bagi mengelakkan kucar-kacirnya pembahagian kerusi pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya umum ke 14.
Selain itu, GAH juga menolak amalan politik ‘kumpulan Azmin’ atau Kartel yang didakwa melakukan rundingan sulit dengan beberapa pimpinan Pas tanpa mendapat restu Majlis Presiden PH.
“Seandainya wakil rakyat PAS mahu menjadi calon PH, maka mereka sekarang ini harus bertindak keluar Pas dan menyertai parti komponen PH sebelum Parlimen atau Dewan Negeri (DS) Selangor dibubarkan agar tidak menghadapi risiko pengkhianatan di hari penamaan calon.
“Penyertaan selepas itu tidak lagi bermakna dari segi intergriti dan keikhlasan terhadap perjuangan rakyat melalui PH.
“Mereka akan dilihat terlalu gilakan kuasa demi mempertahankan kedudukan sekarang (kerusi ADUN atau Exco).
“Usaha Kartel ini bagaikan meletakan proksi Pas di dalam PH yang bakal memberi kecelakaan besar kepada PH di kemudian hari.
GAH mengingatkan semua pihak bahawa kewujudan exco PAS di dalam kerajaan Selangor bagaikan duri dalam daging selama ini.
“Sehubungan itu, GAH menggesa Majlis Presiden PH untuk menolak kepimpinan Azmin dan kelompoknya dari terus memandai-mandai bagi menyusun tindakan yang merugikan PH,” kata NGO itu dalam satu kenyataan.
GAH juga mengingatkan pemimpin PKR Selangor mengenai ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH sebelum ini agar tidak lagi melakukan apa-apa rundingan bersama Pas.
Apatah lagi, menurut kenyataan itu, Pas sejak kebelakangan ini tidak berminat bersama PH, sebaliknya memperlihatkan kecenderungan pemimpin pusat mereka menjalinkan hubungan persahabatan dengan Umno.
“Sebarang tindakan percaturan Kartel ini bakal merosakan gerak kerja kritikal PH menjelang PRU14, termasuklah penyusunan kerusi komponen parti PH.
“Walaupun PH Selangor telah pun wujud, namun sebelum ini GAH telah memberi amaran bahawa kelompok Kartel ini akan membawa politik kucar-kacir seperti yang berlaku di dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini,” tambah kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Zanirun Baba, Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.
GAH juga menyifatkan strategi Kartel di Selangor sebagai mementingkan diri sendiri dan secara amat licik mahu melonjakkan diri mereka menjadi hero yang mereka sendiri ada-adakan.
Akibatnya, menurut GAH, PH akan menanggung kerugian sekiranya berlaku pertindihan calon pada hari penamaan calon yang akan menghilangkan keyakinan pengundi sebagaimana kecelaruan yang pernah berlaku dalam PRN Sarawak antara PKR dan DAP pada 2016 lalu.