Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang dispekulasikan akan berlangsung pada Mac 2018, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara Dr Hatta Ramli yakin Pakatan Harapan (PH) berpotensi menguasai lebih banyak kerusi dan tidak mustahil menawan 3 negeri, iaitu Perak, Kedah serta Negeri Sembilan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai itu, selain menang di tiga negeri terbabit, PH juga mampu mempertahankan kubu kuatnya di Selangor dan Pulau Pinang
“Pembahagiaan kerusi (di seluruh negara) hampir selesai di antara parti-parti komponen. PH mempunyai peluang baik untuk memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kedudukan di Pulau Pinang dan Selangor.
“Di Johor juga PH mempunyai peluang tetapi situasi di situ susah sedikit untuk diramalkan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Dr Hatta lagi, PH akan berkempen menggunakan isu utama ‘Hapuskan Kleptokrasi, Selamatkan Malaysia’.
Topik-topik yang diutamakan dalam ceramah ialah situasi ekonomi negara yang telah mengakibatkan kenaikan kos sara hidup serta pengurusan kewangan yang lemah di bawah pimpinan PM Najib.
“Sudah terbukti kerajaan hari ini gagal mengawal harga barang. Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebagai sumber utama dana kerajaan sebelum negara kita mencapai status negara berpendapatan tinggi menunjukkan betapa parahnya kewangan negara yang menyebabkan kerajaan perlu mencungkil wang dari rakyat.
“Hanya selepas PH menguasai kerajaan pusat sahaja beban kewangan boleh diringankan, sebab kami tahu bagaimana untuk berjimat dan menguruskan wang rakyat dengan baik. Kita buktikan pengurusan yang baik telah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang,” jelas Dr. Hatta.
Beliau berharap kali ini rakyat akan mengundi dengan bijak dan mengingatkan rakyat bahawa kebarangkalian adalah tinggi kadar GST akan dinaikkan kalau BN menang PRU14 nanti.
“Bukan sahaja GST bahkan harga minyak pun mungkin akan dinaikkan dengan lebih tinggi lagi,” sinis beliau