Pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya mengukuhkan hala tuju parti masing-masing bagi menjayakan hasrat bersama untuk menuju ke Putrajaya.
Timbalan Ketua Wanita PH Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pemimpin PH juga diminta menjaga hubungan baik antara rakan dalam gabungan PH.
“Kita bersama membawa slogan dan aspirasi untuk rakyat dengan jujur, telus dan amanah.
“Jangan kita lupa tujuan untuk bela rakyat bukan diri individu dan pimpinan tertentu.
“Dalam membuat keputusan perlu dilihat dari perspektif mikro. Kita alukan demokrasi dan bebas bercakap tetapi jangan sampai menyakiti kawan dan timbulkan polemik.
“Kita tidak akan dapat laksanakan apa yang kita gubal dalam manifesto PH sekiranya kita gagal ke Putrajaya,” ujar beliau dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Wanita Pakatan Harapan dan Agenda Wanita Malaysia yang diadakan di Dewan Chempaka Saujana Impian, Kajang hari ini.
Sebahagian perwakilan yang menghadiri Majlis Pelancaran Wanita Pakatan Harapan dan Agenda Wanita Malaysia yang diadakan di Dewan Chempaka Saujana Impian, Kajang hari ini.
Dr Siti Mariah yang juga Ketua Wanita AMANAH Nasional turut mengingatkan rakan parti dalam gabungan PH tidak diibaratkan seperti “gunting dalam lipatan”.
Dalam nada sebak beliau berkata amat perlu kepimpinan dalam parti melakukan reformasi terlebih dahulu.
“Sebelum kita laksanakan itu semua (ke Putrajaya) setiap parti perlu laksanakan terlebih dahulu reformasi dalam parti .
“Jika kita cakap integriti tetapi cakap kita tidak telus, kita cakap pasal akauntabiliti tapi kita tidak akauntabel … jika tidak dilaksana dalam parti masing-masing maknanya pemimpin yang kita hantar samalah dengan BN.
“Ingatlah kepentingan rakyat dan janganlah melupakan seruan bapa kemerdekaan kita jika tidak bersedialah undur diri.
“Saya sedih… kadang-kadang saya tak tengok tv lebih dua minggu…tak mahu tengok gelagat kepimpinan kita sedangkan keputusan telah dibuat.
“Saya nak ingatkan kepada semua apa yang kita lakukan di dunia ada hubung kait dengan akhirat…semaklah surah al-Baqarah,” katanya.
Justeru katanya lagi, untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang beliau yakin BN akan mengembeling tenaga untuk menghalang PH menuju ke Putrajaya.
“Saya merayu pada parti kita jangan ada agenda lain.
“Ini kerana NGO dan cendiakawan mereka sudah menunjukkan belang untuk memberi persepsi ajib diterima rakyat.
“Isu 1MDB dan banyak lagi tidak penting. Apa yang penting mereka menangkan agenda Melayu Islam yang mereka kokokkan.
“Kita perlu pelbagaikan strategi untuk lawan jentera BN,” katanya. – MD