Kerajaan Selangor dicadangkan untuk menaiktaraf peranan anggota Unit Amal Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk membantu kerajaan negeri mengekang jenayah yang sedang berleluasa sekarang ini khususnya di Selangor dan jirannya Kuala Lumpur.
Peruntukkan untuk keselamatan bagi negeri ini boleh digunapakai bagi tujuan menyelamatkan rakyat dan mengaman sesuatu kejadian. Peranan JKKK Selangor dan juga Pegawai-Pegawai Masjid boleh turut dimanfaatkan dengan menambahkan kuasa perundangan kepada mereka yang terlibat dengan mengadakan kursus khas bagi membantu tujuan kerajaan Selangor ingin meningkatkan tahap keselamatan seluruh rakyatnya.
Jika suasana ini boleh dan berjaya diwujudkan maka negeri Selangor akan menjadi contoh sebagai sebuah negeri yang aman dan selamat bukan sahaja bagi pelancong tetapi juga anak-anak, remaja dan orang tua untuk terus menjalankan rutin harian di Selangor.
Seluruh rakyat Selangor menyokong penuh hasrat YAB Menteri Besar untuk terus memohon kepada KDN bagi mewujudkan Polis Bantuan dalam Selangor. Tetapi jika kerajaan pusat berterusan menolak cadangan tersebut maka negeri Selangor wajar memikirkan alternatif yang lain termasuk menggunakan mekanisma yang ada pada Pakatan Rakyat iaitu Unit Amal, SRIKANDI dan NISA.