Pakatan Harapan (PH) hari ini menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya PH berjaya menangi PRU14.
Pengumuman mengenai calon-calon PM dan TPM itu telah dibuat oleh Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah melalui perisytiharan Muafakat Pakatan Harapan sebaik Nurul Izzah selesai membacakan surat Anwar dari penjara.
Ketua Umum PKR yang masih terpenjara di Sungai Buloh menerima keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Restu Anwar itu disampaikan melalui satu surat yang dibacakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di konvensyen PH di Shah Alam sekejap tadi.
“Kita percaya keputusan ini telah mengambil kira aspirasi semua parti anggota dan perundingan dengan suara rakyat terbanyak.
“Perkara ini tidak bermaksud kita melupakan perjuangan lebih dua dekad untuk mereformasi institusi kerajaan yang telah begitu lama merosakkan sistem keadilan,” katanya.
Saifuddin turut mengumumkan keputusan pengagihan kerusi antara parti-parti dalam PH.
“Sebagai persiapan PH menghadapi dan memenangi PRU14 kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan parlimen bagi Semenajung Malaysia iaitu yang melibatkan 165 kerusi.
“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperuntukkan 52 kerusi.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) diperuntukkan 51 kerusi.
“Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) mendapat 35 kerusi.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) diberikan 27 kerusi,” katanya. – MD