Perdana Menteri Najib Razak akan menjual lebih banyak tanah jika terus berkuasa, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu mengulas kepada berita mengatakan Bank Negara Malaysia (BNM) telah membeli 22.58 hektar tanah daripada kerajaan, pada harga RM2 bilion untuk digunakan sebagai penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam.
“Berbulan masa diambil untuk runding pembelian ini. Bank Negara akan membayar kerajaan Malaysia RM2 bilion untuk tanah ini.
“Ketika saya perdana menteri, Bank Negara beberapa kali berkembang secara fizikal. Tetapi tiada siapa dengar tentang harga yang dibayar untuk tanah itu,” kata Dr Mahathir dalam blognya hari ini.
“Mungkin orang awam sebagai pihak berkepentingan ingin tahu berapa banyak yang Bank Negara bayar untuk tanah itu di mana tersergamnya bangunan-bangunan bank yang hebat.”
Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 berkata, penjualan aset itu merupakan salah satu cara kerajaan menjana wang.
Beliau berkata tanah di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang juga dijual pada tahun lepas bagi melunaskan ansuran kedua hutang kepada syarikat petroleum Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).
Dilaporkan, pada lewat bulan lalu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membuat pembayaran terakhir kepada IPIC sebanyak AS$602.7 juta (RM2.4 bilion) dengan melupuskan kepentingan dalam dua syarikat kepada pembeli yang dikaitkan dengan perniagaan milik China. Ia adalah ansuran kedua daripada pinjaman AS$1.2 dari IPIC yang dilanjutkan kepada Q DB pada Julai 2015.
“Kita masih ada banyak tanah. Kalau jual beberapa negeri, kita boleh kaya. Itu satu cara nak capai Wawasan 2020 ,” sindir calon perdana menteri Pakatan Harapan itu.
“Lebih banyak tanah boleh dijual dan sedikit dari hasilnya diedarkan sebagai BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.
“Kemudian kita akan menjadi negara maju. Tak perlu tunggu 2050.”
Dalam tulisannya yang berbaur sindiran itu, Dr Mahathir berkata ia mungkin akan jadi seperti bagaimana Singapura dijual kepada British dan hari ini ia berubah menjadi negara yang berpendapatan per kapita lebih tinggi berbandng Malaysia.
“Kita tak perlukan tanah yang besar. Kalau kita jual semua tanah kita yang banyak, kita akan saksikan ia berkembang dengan baik. Kita boleh berbangga dengan perkembangannya.
“Najib sedang buat kerja yang sangat bagus. Kalau kita beri dia lebih masa, kita akan lihat dia jual lebih banyak tanah, yang akan berkembang maju,” pengerusi Bersatu itu berkata. – TMI