Naib presiden Pakatan Harapan (PH), Salahudin Ayub berjanji akan menyelesaikan isu ketidakpuasan hati AMANAH Wilayah Persekutuan akibat tidak mendapat sebarang kerusi dalam pilihanraya umum ke 14 ini.
“Bagi yang tiada kerusi DUN seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain,” kata Salahudin yang juga timbalan presiden AMANAH dalam satu kenyataannya.
Untuk negeri lain, Salahudin yakin, rundingan kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri akan dapat membantu menyelesaikan perkara itu.
“Saya percaya bahawa rundingan kerusi Pakatan Harapan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada yang telah dan sedang berlangsung dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam Pakatan Harapan,” katanya.
Bagi beliau, sebarang rasa tidak puas hati terhadap hasil pembahagian kerusi serta pengumuman calon Presiden Pakatan Harapan akan dibawa kepada peringkat tertinggi Pakatan Harapan supaya ditangani dengan sebaiknya.
“Kita ingin supaya keputusan-keputusan ini dapat diterima oleh seluruh ahli dan di setiap peringkat semua anggota parti,” katanya.
Bagi beliau, kejayaan Konvensyen menyelesaikan perundingan kerusi dan mengisytiharkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sangat bermakna.
“Ia adalah bermakna bahawa pimpinan Pakatan Harapan mampu melihat ke hadapan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara kita,” katanya.
Salahudin mengulas rasa tidak puas hati beberapa negeri di kalangan AMANAH terhadap pembahagian kerusi pilihan raya baru-baru ini.
Yang paling ketara adalah AMANAH Wilayah Persekutuan yang tidak akan mendapat sebarang kerusi selepas tidak mendapat apa-apa kerusi parlimen kerana WP tidak ada kerusi negeri.
Dalam pembahagian kerusi itu, AMANAH paling sedikit mendapat kerusi iaitu 27 sahaja berbanding Bersatu (52), PKR (51) dan DAP (35).
Perwakilan AMANAH Johor telah tidak menyertai konvensyen Ahad lepas apabila hanya mendapat dua kerusi Parlimen dari 56 kerusi parlimen di Johor.
AMANAH Perak juga tidak berpuashati apabila mendapat hanya empat dari 54 kerusi parlimen di negeri itu. – MD