Kalangan pemerhati serta aktivis parti Pakatan Harapan (PH) masih berbelah bahagi sama ada pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad patut diberi kepercayaan untuk mengetuai kerajaan semula sebagai perdana menteri.
Tokoh pemerhati dan aktivis yang tampil sebagai panel dalam satu forum khas malam tadi mengakui potensi Dr Mahathir dalam membantu PH mengambil alih pentadbiran negara.
Namun, mereka bimbang jika sisi gelap Dr Mahathir sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun akan kembali menyerlah andai bekas perdana menteri itu dilantik semula ke jawatan tersebut.
Selain itu, keputusan melantik beliau sebagai perdana menteri juga dilihat hanya untuk raih undi Melayu dan tidak akan bantu mereformasi institusi negara.
Seorang daripadanya bekas ahli PKR, Badrul Hisham Saharin yang berpendapat, PH tidak menawarkan perkara baharu yang membezakannya dengan Barisan Nasional (BN), sekiranya masih melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Ia tidak lebih daripada pilihan kepada pengguna untuk memilih jenama minuman ringan.
“Di hadapan kita tidak disediakan peluang, hanya disajikan Pepsi dan Coca Cola,” katanya ketika bercakap sebagai panel dalam forum “Adakah Mahathir solusi untuk Malaysia yang lebih baik” pada malam tadi.
Jelasnya, pelantikan Dr Mahathir tidak akan membantu mereformasi institusi dalam negara sebaliknya hanya akan menjadikannya pengganti kepada Perdana Menteri Najib Razak dalam sistem sama, katanya.
Aktivis yang dikenali dengan nama Chegubard itu berkata, keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh PH adalah perubahan sistem yang diamalkan dalam negara.
Tambahnya, PH sepatutnya menjadi alternatif kepada BN namun sikap membuat keputusan terburu-buru dalam soal pelantikan Dr Mahathir menunjukkan belang gabungan parti itu dalam mendoktrin rakyat.
“Kamu suap pada mulut rakyat kena terima Dr Mahathir. Kamu runding tak dengan rakyat? Apa yang berlaku sekarang tidak ada bezanya antara PH dan BN.
“Kamu adalah gabungan dominan politik yang membawa harapan rakyat yang tinggi. Duduk bertenang, fikir dengan waras,” katanya.
Beliau turut membangkitkan mengenai hipokrasi pemipin PH kerana berdiam diri apabila Dr Mahathir mengulas mengenai kadar tol di Malaysia.
“Belum berkuasa dah paksa rakyat dari segi pemikiran. Belum ada kuasa Dr Mahathir kata tol masih murah, tapi siapa yang bersuara membantah, tidak ada… senyap semuanya,” katanya.
Seorang lagi ahli panel, aktivis NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim pula bersetuju agar bantuan hanya diberikan kepada Dr Mahathir untuk menjatuhkan Umno dan BN.
Beliau yakin masalah akan timbul jika Dr Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri kerana keputusan itu tidak membantu dalam pembentukan negara yang menjangkaui politik rentas perkauman.
Katanya, PH perlu bersikap jujur dan mengambil kira rekod buruk Dr Mahathir dalam isu perkauman sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun.
“Kalau betul-betul Dr Mahathir hendak membantu jatuhkan Umno dan BN kita sambut. Masalah yang timbul apabila beliau dilantik sebagai bakal perdana menteri.
“Gunakan Dr Mahathir, tetapi cakaplah yang jujur… kononnya kemiskinan Melayu akan dihapuskan dengan kemenangan PH.
“Jangan hanya cakap mengenai 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan kata PH akan kekal hak keistimewaan Melayu. Ini sama sahaja dengan Umno dan BN,” katanya.
Seorang lagi ahli panel, wartawan Fathi Aris Omar juga meragui rekod Dr Mahathir dalam kebebasan bersuara dan bimbang bekas perdana menteri itu akan kembali menekan rakyat apabila kembali berkuasa.
“Ia bukan soal individu tapi sistemnya. Politik ini amanah syaitan. Kita kena andaikan orang politik sentiasa buat silap jadi perlu ada ruang dikecam,” tegas editor yang bertugas di portal Malay Mail Online itu.
Katanya lagi, Dr Mahathir juga bertanggungjawab mengetuai parti BN dan menghasilkan tokoh yang terpalit dengan tuduhan kleptokrasi dan mencuri dana negara.
“Dr Mahathir adalah kepala bapa kleptokrasi yang melahirkan anak haramnya hari ini,” kata Fathi Aris lagi.
Turut berucap sebagai ahli panel adalah ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Arif yang meminta agar penyokong PH tidak terlalu bersangka buruk kepada Dr Mahathir.
Tambahnya, usaha negarawan tersebut dalam membangunkan negara perlu diambil kira dan kini kerjasama antara pembangkang dan Dr Mahathir diperlukan demi menjatuhkan BN.
Salah satu usaha penting adalah untuk merampas kerusi di kawasan Felda, katanya.
“Kita boleh katakan Dr Mahathir hancurkan negara tapi Dr Mahathir juga yang bangunkan negara, gunakan sejarah sebagai pengajaran.
“Beliaul adalah solusinya yang ada untuk Malaysia hari ini. Kita jangan terlalu bersangka buruk,” katanya
“Perdana menteri di bawah BN adalah yang berbeza dengan perdana menteri di bawah PH. Kita tak mahu lagi bersandarkan seseorang. Kita mahu reformasi berlandaskan institusi,” katanya.
Senada dengannya adalah aktivis politik terkenal Hishamuddin Rais yang berpendapat, sejarah hitam Dr Mahathir perlu diketepikan demi mencapai matlamat menjatuhkan Umno dan BN.
Hishamuddin yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika pentadbiran Dr Mahathir berkata beliau tetap menyokong agar bekas perdana menteri itu dilantik semula ke jawatan tersebut.
Hishamuddin berkata beliau sanggup mengenepikan perasaan peribadinya kerana orang yang layak menentang Umno adalah Dr Mahathir sendiri.
Jelasnya, PH juga memerlukan tokoh untuk menarik sokongan terutama dari kalangan orang Melayu luar bandar dan Felda dan Dr Mahathir adalah ikon yang sesuai.
“Saya bukan menentang Dr Mahathir. Saya menentang Umno. Ini musuh saya. Orang yang pada tahap ini layak untuk hancur leburkan Umno dan BN adalah Dr Mahathir.
“Lelaki yang tahu dia pernah jadi pemimpin Umno. Justeru, terbaik dia bersama kita untuk jatuhkan Umno,” katanya.
“Pada tahap ini ikon ini kita perlukan untuk menjerut hati orang Felda. Kita perlukan ikon. Adakah saya lupakan sejarah saya? Tidak. Itu perasaan peribadi saya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Nathaniel Tan pula menjangkakan bahawa pentadbiran secara kuku besi yang diamalkan Dr Mahathir berkemungkinan tidak sekeras dahulu.
Beliau juga melihat Dr Mahathir mungkin akan berjaya meraih sokongan pengundi, namun tetap bimbang dengan sejarah hitam Dr Mahathir dan sekutu politiknya yang dapat menukar arah sokongan dengan mudah.
“Secara ringkas cukup jelas dari segi impak politik kemungkinan besar Dr Mahathit akan ada kesan besar dari segi undi.
“Dari segi sejarah sekutu itu agak membimbangkan, hari ini sekutu, esok boleh jadi musuh,” katanya lagi.
Forum anjuran NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Malaysia Bebas daripada Perasuah dan Diktator itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH). – TMI