Sekretariat Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa menjalankan tugasan di Mogadishu, Somalia.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Hatta Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Liew Chin Tong menggesa kerajaan atau sebagarang badan bukan kerajaan pada masa depan agar mengambil berat keselamatan wartawan yang akan dihantar bertugas di kawasan bergolak.
“Melihat kepada tragedi ini, kami menggesa supaya langkah-langkah keselamatan yang cukup dan tertib akan dipertimbangkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengelakkan daripada berlakunya tragedi sedemikian rupa.
“Bagaimanapun, kami berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa soalan-soalan yang ditimbulkan ramai akan dijawab dengan tulus demi menampilkan kebenaran,” kata mereka.
PR turut mengkagumi keberanian allahyarham yang sanggup berkorban demi menjalankan tugas media di mana sahaja kawasan yang diarahkan.
“Pemergian arwah di usia yang muda selaku anak lelaki sulung keluarga, lantas meninggalkan seorang balu dan dua orang cahaya mata sememangnya amat menyayat hati semua warga Malaysia. Warga wartawan dan pengamal media di Malaysia juga telah kehilangan seorang rakan sekerja yang berani dan berdedikasi kepada kerjayanya.
“Sementara itu, kami berdoa supaya keluarga arwah akan diberikan kekuatan dan kesabaran tatkala menempuhi masa yang mencabar dan penuh hiba ini. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga arwah ditempatkan bersama golongan orang-orang yang soleh,” kata mereka.