Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan pencalonan Tun Mahathir sebagai perdana menteri ke-8 adalah tepat berdasarkan serangan pemimpin dan media pro BN yang bertali arus sejak 7 Januari lalu.
Katanya, serangan media tersebut menunjukkan BN menggelabah dan mereka telah ‘bertemu buku dengan ruas’ menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14.
“Sangat banyak serangan dari pihak lawan terhadap Pakatan Harapan kerana kita memilih Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Ini membuktikan pilihan PH adalah tepat.
“Kalau tidak, mengapakah orang BN perlu memberi komen seperti ‘PH ketandusan pemimpin, ‘Dr M terlalu tua’ dan sebagainya?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Pengerusi Amanah Terengganu itu berpendapat pemimpin BN yang sejak pemenjaraan Ketua Umum PKR merasa akan menang besar pada PRU 14 tiba-tiba terasa goyah dengan pencalonan Mahathir.
Menurut Raja Bahrin, BN jelas dalam mood terkejut kerana mereka menyangka PH akan bergelut untuk mengumumkan calon PM sehingga Parlimen dibubarkan. Terbukti PH melakukan serangan hendap terhadap BN dan mereka melawan balik secara tidak tentu arah. Hal itu, katanya, membuktikan Tun bukanlah calang-calang orang dan digeruni oleh pihak lawan.
Raja Bahrin juga berpendapat pencalonan Tun akan membawa lebih banyak sokongan pengundi Melayu, terutama mereka yang mengundi Umno pada PRU lalu kepada PH.
“Kalau kita boleh dapat sekurang-kurangnya 52% sokongan Melayu maka kita boleh menang PRU14. Oleh itu, saya rasa sesi Parlimen Mac ini akan digunakan oleh BN untuk meluluskan persempadanan baru pilihan raya bagi memberi kelebihan kepada mereka.
“Walaupun begitu, saya rasa, rakyat sudah bersedia melakukan perubahan kerana kos sara hidup yang melambung tinggi dan pelbagai penyelewengan BN yang menjolok mata,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengenai segelintir suara mengkritik Tun Mahathir dari dalam PKR dan tentangan aktivis sosial terhadap tokoh berusia 93 tahun itu, Raja Bahrin tidak khuatir. Katanya, Tun hanya menjadi PM sementara dan selepas itu tokoh yang dinanti-nantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai PM ke 8.
“Jika ada orang yang tidak suka kepada Tun, itu tidak menjadi masalah kerana dia hanya PM sementara.
“Saya harap umum akan sedar bahawa negara kita memerlukan kerajaan baru. Tengoklah masalah negara dengan tanah strategik yang digadai, skandal rasuah, penyelewengan wang, kadar jenayah meningkat, kadar pengangguran tinggi dan taraf hidup kita merosot,” ujarnya yang menyifatkan kempen PM Najib kononnya projekt MRT dan bangunan tinggi adalah kejayaan BN mentadbir negara sebagai palsu kerana masih banyak rakyat hidup susah dan melarat.
Beliau juga berseloroh, jika Tun tiada pengaruh maka PM Najib akan membubarkan parlimen sebaik sahaja konvensyen PH selesai.
“Bagi saya, Tun akan berjaya meraih sokongan Melayu.
“Oleh sebab itu, tarikh PRU14 masih menjadi tandatanya. Mungkin juga, PRU14 akan ditunda sampai bulan Ogos,” ujarnya lagi.