Pemimpin Pakatan Harapan – Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail – akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk berkempen bagi pilihan raya umum ke-14.
“Kita hanya ada empat minggu lagi sekiranya kita andaikan pilihan raya (akan) diadakan pada Mei,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Dinamakan program Jelajah Harapan, Dr Mahathir berkata beliau dan Dr Wan Azizah akan melawat setiap negeri pada minggu akan datang untuk bertemu pengundi.
Pemimpin lain dalam pakatan pembangkang juga akan mengadakan pertemuan dengan pengundi di seluruh negara dan mengadakan sesi ceramah untuk menjelaskan dasar PH bagi mengurangkan kos sara hidup, mengubah institusi awam dan membanteras rasuah.
Dr Mahathir berkata mereka akan menjawab segala pertuduhan yang dilemparkan Barisan Nasional terhadap pembangkang namun tidak mendedahkan lebih lanjut.
Dr Mahathir yang berusia 92 tahun itu sudah mengadakan jelajah hampir ke seluruh negara, bercakap kepada pengundi di kawasan bandar dan luar bandar sejak beberapa bulan lalu.
Beliau dinamakan calon perdana mnteri PH dengan Dr Wan Azizah sebagai timbalannya sekiranya PH memenangi PRU14 yang mesti diadakan sebelum Ogos.
Pakatan PH yang terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah akan bertanding di 165 kerusi Parlimen di semenanjung.
Bersatu akan bertanding di 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27). – TMI