Data terbaharu menunjukkan sokongan pengundi Melayu ke atas Pakatan Harapan (PH) meningkat 48%. Faktor itu mungkin disebabkan pencalonan Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri baru-baru ini yang diyakini pengundi Melayu terutama di luar bandar.
Bagaimanapun menurut M. Manogaran, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, angka itu masih belum mencukupi untuk memenangkan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14. Katanya, sokongan kepada PH hendaklah melebihi 50%, sebagaimana yang diperolehi BN pada PRU 13. Sementara Pakatan Rakyat ketika itu hanya mendapat 42% undi Melayu.
“Sokongan Melayu kepada PH hampir 47%, 48% tetapi oleh kerana PH perlukan sekurang-kurangnya 50%, kita mesti bekerja lebih keras lagi untuk menaikkan peratusan sokongan itu.
“Tun Dr Mahathir sedang berceramah di sana-sini dan saya harap rakyat akan menyokong PH dalam PRU14 nanti kerana Dr Mahathir berhujah dengan fakta yang tepat dan benar mengenai mengapa rakyat hari ini dibebani dengan kos sara hidup yang menjerut leher,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran juga menambah sokongan dari masyarakat India sepatutnya ditingkatkan untuk menampung kekurangan sokongan dari Sabah dan Sarawak.
Bagi Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, polisi-polisi pentadbiran yang PH akan laksanakan jika mendapat mandat rakyat dapat membantu meningkatkan sokongan Melayu. Cuma, katanya, Umno sedang menakut-nakutkan kaum itu dengan tohmahan kononnya ‘Lim Kit Siang berniat menjadi Perdana Menteri Malaysia’.
“Ini menyukarkan PH untuk mendapat lebih banyak sokongan pengundi Melayu. Namun demikian, kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk memberi maklumat sebenar kepada masyarakat Melayu dan sebagai satu langkah untuk menangani tohmahan palsu itu, PH telah mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
“Kita juga sedang menekankan isu kos sara hidup apabila berceramah di kawasan kampung sebab isu seperti 1MDB dan kleptokrasi tidak mendapat sambutan yang hangat memandangkan penduduk kampung memberi lebih tumpuan kepada cabaran hidup hari demi hari. Justeru, strategi PH diubah-suai apabila berceramah di kampung,” katanya.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu menerangkan oleh sebab kos sara hidup memberi kesan kepada semua orang, tidak mengira bangsa dan agama, dasar-dasar PH seperti ‘Hapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan’ dan ‘kembalikan subsidi minyak serta minyak masak’ akan melibatkan semua rakyat kerana ia akan menurunkan kos sara hidup.
“Kini terdapat banyak ‘iklan’ di kaca televisyen yang memaparkan bagaimana kerajaan melalui BR1M dan Belanjawan 2018 telah membantu rakyat.
“Tetapi ramai orang masih hidup susah dan maka itu saya berpendapat PH ada peluang menang PRU14 sebab rakyat ingin memberi peluang kepada kerajaan pusat yang baru,” kata Khalid lagi.