Persepsi bahawa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negara ini semakin menurun, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Menurutnya, ia susulan tindakan kepimpinan HARAPAN menamakan lebih awal calon perdana menteri dan timbalan sekiranya berjaya menumpaskan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), akan datang.
“Ia isu besar dimainkan dalam fikiran orang ramai yang saya selalu sebut, politik ini satu tanggapan, orang panggil persepsi yang dimainkan di kampung-kampung bahawa kalau BN kalah, Lim Kit Siang jadi perdana menteri,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Bilik Operasi HARAPAN di Pengkalan Pasir, Pasir Mas, petang tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan HARAPAN menamakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan sekiranya menang PRU14.
Terdahulu, keputusan tersebut dibuat kepimpinan HARAPAN yang dianggotai AMANAH, DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Konvensyen HARAPAN, baru-baru ini.
Mohamad berkata, orang Melayu sudah sekian lama diasak dengan persepsi tersebut termasuk di kalangan cerdik pandai.
“Jangan anggap perkara ini main-main, perkara ini dipegang (dipercayai) termasuk oleh para profesor dan pensyarah-pensyarah Melayu.
“Dan ini yang menyebakan orang ramai takut nak berubah termasuk pegawai-pegawai kerajaan,” jelasnya.
Disebabkan persepsi berkenaan katanya, HARAPAN menamakan calon perdana menteri dan timbalan sebelum pilihan raya.
“Bila kita berjaya menamakan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan, ini untuk membenamkan persepsi yang dibawa parti lawan itu,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas timbalan presiden PAS itu berkata, kejayaan HARAPAN menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kelapan juga menangkis dakwaan bahawa Lim bakal dilantik sebagai perdana menteri.
“Bila kita buat perjanjian sebegitu rupa, di antaranya suara-suara yang mengatakan bila BN kalah maka orang Cina akan jadi perdana menteri tidak betul.
“Tanggapan itu sudah mulai menurun dan kita lihat semakin hari sokongan kepada kita semakin terserlah,” jelasnya. – Mkini