Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu melontarkan hujah dalam forum bertajuk ‘Mat Indera – Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan’ yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH) malam tadi.
Menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas pesuruhjaya British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang menjalankan usaha membuka penempatan Yahudi di tanah rampasan British di Palestin sebelum dihantar ke Malaya.
“Chin Peng bunuh Henry Gurney yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?
“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku. Lu fikirlah sendiri,” katanya diiringi gelak ketawa hadirin.
Turut serta sebagai panel forum anjuran NGO – Free Public Forum M’sia (FPF) itu ialah Pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais.
Mat Sabu seterusnya menyelar pihak yang mahu beliau diambil tindakan keras. Menyifatkan seruan itu anti intelektual dan anti demokrasi beliau juga menyeru pihak terlibat mengkaji terlebih dahulu kebenaran sejarah sebelum mencercanya
“Ada yang cadang saya dibuang ke luar negara, ada yang cadang saya di ISA, ada yang cadang saya dibuang sahaja ke Laut China Selatan. Ugutan macam-macam.
“Ini tidak lain kerana apa yang saya cakap dicampur dengan rekaan Utusan, apa yang saya tak cakap dilaporkan sebagai cakap. Ini satu fitnah,” katanya .
Berhujah lanjut, Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mohamad Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukan pengkhianat bangsa seperti dituduh Umno.
Perkara itu juga menurutnya dinukilkan sendiri dalam buku “Pengkukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera sebagai pejuang bangsa.
Sambil merujuk tragedi Bukit Kepong 1950 lalu, Timbalan Presiden PAS itu berkata anggota polis di Rumah Pasung yang diserang Mohamad Indera adalah polis British.
“Polis janganlah panik, pembahaginya adalah 31 Ogos 1957, serangan (Rumah Pasung) Bukit Kepong itu sebelum merdeka, anggota polis sebelum 1957 adalah polis British,” katanya mengulas kemarahan pesara polis seperti dilaporkan Utusan
Sehubungan itu, Mat Sabu menunjukkan sebuah buku – Pemburu Bintang Tiga sebagai bukti polis sebelum merdeka adalah alat British menjaga sumber kekayaan penjajah di Tanah Melayu. Beliau menunjukkan buku yang dikarang oleh bekas anggota polis zaman British itu yang menyebut mengenai tugas mereka secara terpeinci menjaga estet dan ladang getah milik British.“Lebih separuh daripada buku ini tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Ini polis yang tulis, bukan aku,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.
Sementara itu, itu Hishammudin Rais pula berkata, Mohamad diserang kerana penipuan fakta kemerdekaan oleh Umno selama ini ibarat sudah pecah tembelang. Kontroversi kenyataan Mohamad berhubung isu Mat Indera katanya telah menyebabkan masyarakat mula sedar sejarah sebenar kemerdekaan.
“Untuk Umno, (Bukit Kepong) inilah kiblat perjuangan mereka. Setiap tahun tunjuk Bukit Kepong.
“Sekarang Umno dan Utusan takut sebab tembelang pembohongan sudah pecah, kiblat mereka sudah runtuh,” katanya sambil memuji keberanian Mohamad.
Umno juga jelasnya cuba memperbodohkan rakyat dengan tulisan sejarah versi mereka.
Sehubungan itu, isu Mat Indera ini perlu dijadikan momentum untuk rakyat melihat kembali sejarah negara.
Profesor Aziz Bari turut sependapat bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan bukan pengkhianat bangsa seperti didakwa Umno.
Katanya ianya turut dibuktikan dengan beberapa fakta sejarah dan testimoni ahli keluarganya.
“Sehingga kini belum ada kenyataan konkrit bagi menafikan hujah ini,” katanya.
Dalam forum tersebut, kesemua mereka juga turut bersetuju agar sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini perlu juga mengiktiraf jasa golongan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang mengangkat senjata menentang penjajah, dan bukannya dari tokoh Umno semata-mata.