Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, sekiranya pilihan raya umum (PRU) ke 14 diadakan pada bulan Mei maka Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mendapat sokongan yang cukup daripada pengundi Melayu untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menang dan mengambil alih Putrajaya.
Katanya, momentum perubahan pengundi Melayu telah kelihatan sejak Pengerusi PH Tun Mahathir dinamakan sebagai calon PM namun belum cukup padu untuk menjamin kemenangan.
“Kini Bersatu makin mendapat sambutan dari masyarakat Melayu tetapi saya pikir belum cukup lagi untuk PH meraih kemenangan pada PRU14 kalau pilihan raya diadakan pada bulan ini.
“Tetapi kalau PRU diadakan pada hujung April atau awal Mei, maka saya pikir peratus sokongan akan naik lebih tinggi. PH perlukan 2 atau 3 bulan untuk mendapatkan sokongan yang boleh dikatakan selesa sebab kita perlu masa untuk menyampaikan mesej kepada ramai pengundi di kawasan kampung,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut ADUN Sekinchan itu, kedudukan PM Najib bagaikan telur di hujung tanduk sekiranya PRU14 diadakan sebelum persempadanan baru lulus. Persempadanan lama, katanya, terlalu bergantung kepada kawasan pengundi campuran yang jelas menolak Najib dalam PRU 2008 dan 2013.
Oleh itu, menurutnya, Najib pasti tidak akan memanggil PRU dalam masa terdekat sehingga Mac sebelum sesi baharu Parlimen bermula. Bagaimanapun, menurut Ng lagi, persempadanan baharu bukanlah pasti akan memenangkan BN kerana isu-isu semasa telah banyak menyedarkan pengundi, terutama yang berada di luar bandar yang tidak terkesan dalam dua siri PRU sebelum ini
“Sekarang rakyat dari semua lapisan masyarakat dan bahkan juga di bandar dan pekan kecil mula bertanya mengapa harga barang terutamanya harga minyak begitu tinggi sekali.
“Mereka semua kata ‘Ada sesuatu yang tidak betul. Ada perkara atau situasi kewangan yang disembunyikan.’ Ini menunjukkan semakin lama PM Najib menunggu, semakin menyerlah kegagalan beliau dalam pengurusan hal-ehwal kewangan dan ini menyebabkan rakyat biasa tertekan oleh kos sara hidup yang tinggi.
“Keadaan ekonomi harian tidak boleh ditutup atau disembunyikan oleh kerajaan BN. Bursa Saham yang tinggi dan nilai Ringgit yang agak kuat pun tidak dapat meyakinkan rakyat apabila harga barang keperluan harian dilihat terus meningkat,” tambah Ng.
Beliau optimis kali ini PH mempunyai peluang yang cerah untuk menang PRU. Cuma beliau berharap agar ‘strategi undi rosak’ yang sedang diuar-uarkan oleh setengah-setengah pihak tidak akan mempengaruhi para pengundi kerana strategi itu akan menghalang PH mencapai kemenangan.
“Saya menggesa semua pengundi keluar mengundi awal pagi dan jangan sengaja merosakkan undi anda walaupun anda tidak suka pada Tun Dr. Mahathir.
“Langkah yang pertama yang perlu dilaksanakan ialah untuk mengubah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara. Justeru itu, rakyat perlu berganding bahu dengan koalisi PH termasuk Tun untuk merealisasikan matlamat itu sebelum terlambat,” tegas Ng lagi.